SHAH ALAM - Kempen sentuh anjing yang kononnya untuk
membuang stigma dan mengatasi persepsi negatif orang Islam dan Melayu terhadap
haiwan itu sebenarnya adalah 'jarum halus' bagi menyuburkan fahaman liberal dan
pluralisme di negara.
Pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias mendakwa kempen anjing
anjuran seorang Islam itu merupakan satu gerakan untuk menghalalkan sesuatu
yang sudah diharamkan ALLAH kepada penganutnya.
"Ini semua ada agenda halus untuk meliberal dan
mempluralkan agama.
"Ianya gerakan yang cukup halus dan dimulakan dengan
satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan
hukum dan itulah tujuan asalnya.
"Kalau hendak dijadikan sebagai binatang peliharaan
seperti kucing dan ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana
ianya melibatkan urusan ibadat seharian," katanya yang dimuat naik dalam
akaun Facebooknya, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing
"I Want to Touch a Dog" anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park,
Bandar Utama, Selangor, semalam.
Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai
terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap
anjing.
Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai
yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik
haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz
Kazim turut mempersoalkan penganjuran kempen tersebut dan kesal segelintir
penganut Islam mudah terpedaya tanpa usul periksa.
"Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir
umat Islam yang tidak cukup halus mata hatinya untuk meneliti....
"Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen
arak, mai anjing pula, lepas ni apa pula?
"Jangan lepas ini buat kempen babi pula dengan alasan
bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam aircond, yang mengamalkan
tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa," tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Kazim menegaskan hukum memegang anjing
sama seperti memegang babi yang telah diharamkan oleh ALLAH kepada orang Islam
kerana kedua-dua haiwan itu bersifat 'mughallazah'.
"Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang.
Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula
pegang, lepas itu bela, lepas itu masuk dalam rumah!
"Binatang mughalazah ini macam babi jugalah
mugahalazahnya, lepas ini buat la kempen pula pegang babi dengan melawat ke
pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.
"Tidaklah salah pegang anjing, tapi apa sebabnya sampai
buat kempen? Kenapa tidak buat kempen ke masjid, kempen menerima hudud atau
kempen menerima konsep kalimah ALLAH," soalnya lagi.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment