MASIH berbaki enam bulan untuk pelaksanaan cukai barang dan
perkhidmatan (GST). Ini bermakna semua syarikat yang layak mengenakan GST sudah
membuat persiapan.
Namun dalam tempoh ini, ada juga peniaga-peniaga kecil dan
beberapa syarikat sudah mengenakan caj GST ini. Adakah ini sebagai pra
permulaan atau sekadar mengambil kesempatan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, perkara ini sudah berlaku
di beberapa tempat, namun bukan daripada syarikat besar sebaliknya kedai makan
kecil dan tempat parkir kereta. Ikuti kupasan wartawan mengenai isu GST ini.
Pekerja ditumbuk gara-gara GST
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kedai makan di Kampung Bharu
ditumbuk apabila pelanggan kedai itu tidak berpuas hati kerana dikenakan caj
tambahan sebanyak enam peratus.
Menceritakan keadaan itu, pengurus kedai makan berkenaan
berkata, majikannya terpaksa menghentikan caj enam peratus itu setelah mendapat
rungutan pelanggan.
“Ramai marah apabila caj tambahan itu dikenakan, mereka kata
tidak patut kedai kami kenakan cukai itu. Mereka merungut ‘kedai nasi campur
pun nak kenakan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) ke?
“Sebenarnya caj berkenaan baru dikenakan sekitar dua minggu
lalu kepada pelanggan setelah didenda sebanyak RM23,000 akibat tidak memulakan
operasi memungut cukai sebaik mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia
(JKDM) bulan enam lalu,” dakwanya yang enggan dikenali.
Dakwanya lagi, bukan mahu mengambil kesempatan tetapi itu
adalah syarat yang ditetapkan kerajaan.
Pengurus kedai itu mendakwa menerima arahan untuk memungut
cukai itu sebagai langkah persediaan kepada pelaksanaan GST.
“Kami mendaftar kerana tidak mahu lari daripada membayar
cukai, bersikap bertanggungjawab atas perniagaan ini. Namun ramai yang
menyangka kami telah laksanakan GST lebih awal,” katanya.
Ditanya adakah kedainya itu mencatatkan pendapatan melebihi
RM500,000, pengurus itu bagaimanapun kurang pasti mengenai perkara itu.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment