Saturday, February 15, 2014

Penunggang gagal elak babi

2:53 PM No Comments

Alor Gajah: Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit parah selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor babi hutan di Jalan Lanjut Manis, Ayer Paabas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, motosikal Kawasaki RR ditunggang Mohamad Shamsuddin, 20, dipercayai gagal mengelak haiwan berkenaan yang sedang melintas jalan.

Menurut sumber, sebelum kejadian anak sulung daripada dua beradik itu dalam perjalanan ke kedai runcit dari rumahnya di Kampung Rantau Panjang, di sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, babi hutan itu tiba-tiba keluar dari kawasan semak di sebelah kanan jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.

“Rempuhan mengakibatkan mangsa yang tercampak dari motosikalnya mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala haiwan berkenaan mati selepas tercampak di kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, lebih malang mangsa terpaksa terbaring di atas jalan raya dalam keadaan separuh sedar kira-kira 10 minit sebelum kejadian disedari pengguna jalan raya berkenaan.

Katanya, mangsa dibantu orang ramai bagi menghentikan pendarahan di kepalanya sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Jurucakap hospital berkenaan berkata, mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohammad Laham ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mangsa yang parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Sumber : http://www.hmetro.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger