Saturday, February 15, 2014

FOKEM 2014 platform usahawan kongsi kejayaan | Forum Keusahawanan Malaysia (FOKEM) 2014

12:04 PM No Comments

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), SME Bank dan SME Corporation Malaysia (SMECorp) akan menganjurkan Forum Keusahawanan Malaysia (FOKEM) 2014 bagi meraikan kejayaan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Penganjuran julung kali itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Selasa ini, bermula jam 8.30 pagi hingga 5.15 petang dan akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

MIDF berkata, FOKEM yang menggunakan slogan ‘Rakan Strategik Anda Dalam Perniagaan’ itu bermatlamat menyediakan platform bagi usahawan yang berjaya untuk berkongsi pengalaman bersama peserta forum.

Katanya, ia bagi memberi maklumat mengenai pelbagai inisiatif serta bantuan yang ditawarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi di bawahnya.
“Pada sama penganjuran forum turut membantu meningkatkan tahap motivasi kepada usahawan yang baru memula atau akan mengembangkan perniagaan.

“FOKEM 2014 juga membuka ruang kepada peserta untuk menjalin rangkaian kerja baharu serta memperkukuhkan rangkaian perniagaan yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, sembilan usahawan dan PKS yang diraikan dalam FOKEM 2014 ialah ABX Express (M) Sdn Bhd (ABX Express); Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd (AHP); Sipro Plastic Industries Sdn Bhd (SPI); AYS Sdn Bhd (AYS); SimplySiti Sdn Bhd; Suhan Movies & Trading Sdn Bhd (Suhan Movie); SIDMA College Sabah & Sarawak (SIDMA); Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM) dan Offshore Works Asia Pacific.

Menerusi bantuan MIDF dan agensi berkaitan, kebanyakan usahawan dan PKS yang diraikan itu mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang perniagaan atau perusahaan masing-masing.

Sebagai contohnya, ABX Express, yang memulakan operasi di Labuan, Sabah pada 7 November 1984, adalah sebuah operasi kurier berkapasiti kecil. Namun kini, ia berkembang pesat dan mencatat sejarah menjadi kurier ekspres tempatan pertama bekerjasama dengan jaringan syarikat kurier antarabangsa pada 2004.

AHP pula yang diasaskan pada 1989 mampu mencipta nama sebagai pengeluar barangan plastik dan komponen dalaman serta luaran kereta untuk industri automotif terkenal seperti PROTON, PERODUA, UMW Toyota, Isuzu dan TS Lear.
Melalui penggunaan mesin berteknologi tinggi berserta sistem perisian komputer, AHP kini mampu menghasilkan lebih 400 jenis produk plastik, termasuk komponen plastik dalaman dan luaran kereta.

Tidak ketinggalan jenama produk kecantikan dan penjagaan kulit halal yang diasaskan penyanyi terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerusi SimplySiti Sdn Bhd turut mendapat penghargaan.

Sumbangan yang diberi agensi pemasaran di bawah MITI terutama SMECorp banyak membantu SimplySiti menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sumber : http://www.bharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger