Saturday, February 15, 2014

Bayi bawah tayar

2:07 PM No Comments


Hulu Selangor: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas digilis kereta PROTON Exora dipandu datuknya yang sedang mengundur dalam kejadian di Taman Lembah Damai, Kerling.

Difahamkan, dalam kejadian jam 9.40 malam kelmarin itu, mangsa, M Sharvina berada di pekarangan rumah datuknya itu bersama ahli keluarga lain dan tanpa disedari mangsa berlari keluar rumah untuk mengikuti datuknya yang hendak mengundurkan kereta.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Priya, 28, berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik menemui anaknya itu yang juga anak perempuan tunggal daripada empat beradik terperosok bawah tayar hadapan sebelah kiri kereta PROTON Exora yang dipandu bapanya.

Beliau berkata, bapanya mengundurkan kereta yang diletakkan di hadapan rumah untuk menghantar mereka sekeluarga balik ke rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah bapanya itu.

“Ketika itu, saya berada di dalam rumah bersama anak yang lain, manakala bapa saya pula keluar untuk mengeluarkan kereta dan tanpa diduga Sharvina turut keluar mengikut datuknya itu tanpa disedari.

“Saya terkejut mendengar jeritan bapa yang menyatakan anak saya berada di bawah tayar dan saya seperti berada di awangan selepas menemui anak saya itu dalam keadaan begitu,” katanya. Beliau berkata, dia bersama kakak yang tinggal di rumah bersebelahan rumah ibunya membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan kecemasan bagaimanapun, anaknya sudah tidak bernyawa lagi.


MAYAT Sharvina dibawa dengan kenderaan yang melanggarnya untuk dikebumikan.

“Anak saya seorang yang manja, malah sangat rapat dengan semua keluarga termasuk datuknya. Kami sekeluarga tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tiada di rumah kerana bekerja di Ipoh dan anak-anak mereka diasuh datuk dan nenek mereka di rumah itu.“Bapa saya juga masih panik dengan kejadian ini,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Hindu Kerling, Lembah Beringin dengan menggunakan kereta PROTON Exora yang sama kira-kira jam 2 petang semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sumber : http://www.hmetro.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger