TAIPING - Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret
di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang penuntut wanita dengan mengelar
leher mangsa di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan
berhampiran Bukit Gantang, dekat sini, 2 Februari lepas.
Tertuduh, Syarafi Abu, 25, didakwa melakukan perbuatan itu
terhadap Nursyuhada Johari, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau
Pinang, yang meninggal dunia di Hospital
Kuala Kangsar, kira-kira pukul 2 petang, pada hari yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eyu Ghim
Siang, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dilihat menggelengkan kepala.
"Mahkamah tidak minta pengakuan kamu, cuma tanya sama
ada kamu faham atau tidak dengan pertuduhan," kata majistret.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari memohon mahkamah
menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan kimia dan
bedah siasat mangsa belum siap.
Eyu kemudian menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula
kes dan tidak membenarkan tertuduh dikat jamin.
Pada prosiding hari ini, galeri mahkamah dipenuhi anggota
keluarga tertuduh, wartawan dan orang
ramai. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment