PONTIAN – Nama
Kampung Seri Bunian memang tidak asing lagi di kalangan masyarakat di sini, dan
ia sering mendapat perhatian apabila dikaitkan dengan pelbagai kejadian aneh.
Ketua Kampung Seri Bunian, Husin Ahmad berkata, berdasarkan
cerita generasi terdahulu, peneroka yang membersihkan kawasan itu untuk
dijadikan perkampungan sekitar 1924 mendakwa pernah terserempak dengan makhluk
ghaib yang dikenali sebagai bunian.
Menurutnya, disebabkan peristiwa berkenaan, ramai penyelidik
terdiri daripada orang luar dan penuntut universiti datang untuk membuat kajian mengenai asal-usul
kampung itu.
Asal usul Kampung Seri Bunian
Menurut Husin, pada mulanya kampung berkenaan diteroka oleh
golongan petani yang dipercayai datang dari Indonesia, dan ketika itu nama
kampung berkenaan dikenali sebagai Kampung Sungai Bunyi Hulu.
“Tuan Haji Wahab merupakan orang yang bertanggungjawab
meneroka kampung yang asalnya merupakan kawasan hutan belukar.
“Usaha membangunkan kampung diteruskan Haji Othman yang
merupakan ketua kampung pertama di sini,” katanya.
Jelasnya, kejadian terserempak bunian berlaku ketika
penduduk kampung melakukan kerja membersih kawasan hutan untuk membina sekolah
rendah.
“Penduduk bergotong-royong membina sekolah rendah bagi
memudahkan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan tanpa pergi ke bandar.
“Bagaimanapun penduduk mendakwa kerap kali terserempak
dengan makhluk halus dipercayai bunian ketika gotong-royong itu diadakan,” katanya.
Justeru, penduduk meminta nama Kampung Sungai Bunyi Hulu
ditukar kepada Kampung Seri Bunian.
Pernah mengalami kejadian pelik
Menurut Husin, beliau sendiri mempunyai pengalaman berdepan
dengan kejadian aneh ketika solat subuh di surau kampung lima tahun lalu.
Jelasnya, bunyi derap kaki yang didengar ketika berada di
dalam surau berkenaan seolah-olah menggambarkan kehadiran jemaah yang ramai.
“Lantai surau ketika itu adalah kayu, jadi setiap bunyi
tapak kaki orang berjalan di dalam surau jelas kedengaran.
“Ketika solat subuh, saya hanya bersama imam. Pada mulanya
saya sangka ramai jemaah untuk solat bersama-sama, namun selepas selesai solat,
apabila saya memberi salam tiada seorang jemaah pun di belakang,” katanya.
Tambahnya, kejadian yang dialami itu masih sukar untuk
dilupakan walaupun ia sudah lama berlaku.
“Apa yang penting, semua makhluk adalah ciptaan Allah, jika
kita tidak mengganggu mereka pasti mereka juga tidak akan mengganggu kita,”
katanya.
Pembangunan Kampung Seri Bunian
Dengan jumlah penduduk kira-kira 2,700 orang, aktiviti utama
penduduk yang dahulunya berasaskan pertanian berubah apabila kebanyakan meraka
bekerja sendiri, berkhidmat dalam sektor swasta dan kerajaan serta menjalankan
perniagaan.
“Kedudukan kampung yang terletak kira-kira 8 km dari bandar
Pontian memudahkan penduduk kampung mendapatkan pekerjaan dan berulang alik
untuk urusan seharian.
“Kini, tiada lagi kawasan hutan kerana dipenuhi dengan
ladang kelapa sawit, justeru tidak lagi kedengaran kejadian-kejadian pelik
berlaku di Kampung Seri Bunian,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my