Saturday, April 18, 2015

Hormat Ibu Bapa, Guru jika ingin cemerlang

1:25 PM No Comments

ARAU - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pelajar mampu mencapai tahap cemerlang dengan mengamalkan beberapa perkara namun asasnya adalah menghormati ibu bapa dan guru.

Menurut baginda sebagai umat Islam, doa dan restu ibu bapa amat penting untuk mendapat ilmu yang berkat manakala guru adalah sumber ilmu pengetahuan yang paling hampir dengan mereka.

"Kedua-dua indivitu ini perlu sentiasa dihormati walaupun pelajar boleh memberi pandangan atau pendapat selain pembelajaran mesti melalui proses soal-jawab untuk mengasah ketajaman daya pemikiran.

"Beta mahu setiap pelajar mengikis sifat malu bertanya atau terlibat dengan serius dalam sesi soal-jawab atau perbincangan dalam menimba ilmu," titah baginda ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad di sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man turut hadir.

Keberangkatan baginda berdua disambut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rooslee Ismail dan pengetua sekolah Abdul Rashid Sulaiman.

Sekolah Kluster Kecemerlangan itu juga menawarkan pengajian International Baccalaureate (IB).

Tuanku Syed Faizuddin mencadangkan pelajar lebih banyak membuat perbincangan berkumpulan khususnya menjelang peperiksaan yang terbukti dapat meningkatkan kefahaman sesuatu subjek dengan lebih berkesan.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Anis Najhan Md Jamil manakala Tham Chew Meng menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Lelaki.

Mohamad Firdaus Ali dan Anudsara a/p Vik Chan masing-masing menerima Anugerah Tokoh Pelajar. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger