Saturday, April 18, 2015

Terserempak makhluk ghaib

1:05 PM No Comments

PONTIAN –  Nama Kampung Seri Bunian memang tidak asing lagi di kalangan masyarakat di sini, dan ia sering mendapat perhatian apabila dikaitkan dengan pelbagai kejadian aneh.

Ketua Kampung Seri Bunian, Husin Ahmad berkata, berdasarkan cerita generasi terdahulu, peneroka yang membersihkan kawasan itu untuk dijadikan perkampungan sekitar 1924 mendakwa pernah terserempak dengan makhluk ghaib yang dikenali sebagai bunian.

Menurutnya, disebabkan peristiwa berkenaan, ramai penyelidik terdiri daripada orang luar dan penuntut universiti datang  untuk membuat kajian mengenai asal-usul kampung itu.

Asal usul Kampung Seri Bunian

Menurut Husin, pada mulanya kampung berkenaan diteroka oleh golongan petani yang dipercayai datang dari Indonesia, dan ketika itu nama kampung berkenaan dikenali sebagai Kampung Sungai Bunyi Hulu.

“Tuan Haji Wahab merupakan orang yang bertanggungjawab meneroka kampung yang asalnya merupakan kawasan hutan belukar.

“Usaha membangunkan kampung diteruskan Haji Othman yang merupakan ketua kampung pertama di sini,” katanya.

Jelasnya, kejadian terserempak bunian berlaku ketika penduduk kampung melakukan kerja membersih kawasan hutan untuk membina sekolah rendah.

“Penduduk bergotong-royong membina sekolah rendah bagi memudahkan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan tanpa pergi ke bandar.

“Bagaimanapun penduduk mendakwa kerap kali terserempak dengan makhluk halus dipercayai bunian ketika gotong-royong itu diadakan,” katanya.

Justeru, penduduk meminta nama Kampung Sungai Bunyi Hulu ditukar kepada Kampung Seri Bunian.

Pernah mengalami kejadian pelik

Menurut Husin, beliau sendiri mempunyai pengalaman berdepan dengan kejadian aneh ketika solat subuh di surau kampung lima tahun lalu.

Jelasnya, bunyi derap kaki yang didengar ketika berada di dalam surau berkenaan seolah-olah menggambarkan kehadiran jemaah yang ramai.

“Lantai surau ketika itu adalah kayu, jadi setiap bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam surau jelas kedengaran.

“Ketika solat subuh, saya hanya bersama imam. Pada mulanya saya sangka ramai jemaah untuk solat bersama-sama, namun selepas selesai solat, apabila saya memberi salam tiada seorang jemaah pun di belakang,” katanya.

Tambahnya, kejadian yang dialami itu masih sukar untuk dilupakan walaupun ia sudah lama berlaku.

“Apa yang penting, semua makhluk adalah ciptaan Allah, jika kita tidak mengganggu mereka pasti mereka juga tidak akan mengganggu kita,” katanya.

Pembangunan Kampung Seri Bunian

Dengan jumlah penduduk kira-kira 2,700 orang, aktiviti utama penduduk yang dahulunya berasaskan pertanian berubah apabila kebanyakan meraka bekerja sendiri, berkhidmat dalam sektor swasta dan kerajaan serta menjalankan perniagaan.

“Kedudukan kampung yang terletak kira-kira 8 km dari bandar Pontian memudahkan penduduk kampung mendapatkan pekerjaan dan berulang alik untuk urusan seharian.

“Kini, tiada lagi kawasan hutan kerana dipenuhi dengan ladang kelapa sawit, justeru tidak lagi kedengaran kejadian-kejadian pelik berlaku di Kampung Seri Bunian,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger