KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Majlis Agama
Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menangkap lelaki Islam yang
berkeliaran dengan niat ponteng solat Jumaat dan membawa mereka menaiki van
jenazah.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata,
pihaknya terpaksa bertegas kerana ramai yang menganggap perkara wajib itu
sebagai remeh, malah tidak malu bersiar-siar di lokasi tertentu walaupun
menyedari waktu itu perlu ke masjid untuk solat Jumaat.
Menurutnya, individu yang ditangkap itu akan dibawa dengan
menaiki van jenazah dan ditempatkan di pusat pemulihan yang berbentuk pondok
moden bagi mengikuti sesi kaunseling.
Individu ini akan mendalami ilmu bersama ustaz berpengalaman
dan mendidik agar perkara sama tidak berulang.
“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap
mereka yang berkeliaran pada waktu solat Jumaat itu sejajar dengan
penguatkuasaan penutupan premis perniagaan bermula 12.30 tengah hari hingga ke
2.30 petang.
"Langkah itu dibuat bagi menghormati dan memberi
peluang golongan Muslim menunaikan solat,” katanya pada program ‘Walkabout’ di Wisma Persekutuan, di
sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan
Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Wisma Persekutuan, Dr Mohamad Omar
merangkap Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.
Terdahulu, awal Januari lalu, kerajaan negeri mengarahkan
semua pasar raya di negeri ini ditutup pada Jumaat mulai 12.30 tengah hari
hingga 2.30 petang bagi mengelak umat Islam terutama golongan muda tidak
menunaikan solat Jumaat dan berkeliaran di premis itu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif turut menyokong
tindakan Maidam yang menangkap golongan remaja bukan muhrim yang berkelakuan
tidak sopan dan berpakaian menyolok mata di tempat awam.
“Saya menyokong penuh tindakan Maidam yang melaksanakan
undang-undang tersebut bagi menjaga imej kita sebagai orang Islam dan negeri
ini.
"Saya juga meminta pihak Maidam mengambil pendekatan bersifat mendidik
bukannya menghukum dan memberi peluang kepada
mereka dengan memberikan nasihat sebelum melaksanakan
hukuman,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga meminta Maidam
memastikan anggota penguatkuasaan agensi berkenaan diperkemas, termasuk
mempelawa lebih ramai wanita mengisi kekosongan jawatan sebagai penguat kuasa.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my