MALAYSIA nyata bukan tandingan pasukan ranking ke-70 dunia,
Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas mengalami kekalahan besar 10-0 pada aksi
ketiga pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu
Dhabi, malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia yang berada pada
ranking ke-168 dunia, kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan A selepas kalah
6-0 kepada Palestin dan seri tanpa jaringan menentang Timor Leste pada dua aksi
terdahulu.
UAE nyata mendominasi perlawanan pada babak pertama menerusi
ledakan tujuh gol.
Pesta gol skuad Al-Abyad bermula seawal minit ke-15 menerusi
Mohanad Salem sebelum Ali Makhbout menggandakan kedudukan, selang enam minit
kemudian selepas menyambar tangkapan kurang kemas penjaga gol negara, Khairul
Fahmi Che Mat sebelum tuan rumah menambah dua lagi gol menerusi Ahmed Khalil
(minit ke-23) dan dua minit kemudian oleh Habib Al-Fardan.
Kemasukan penjaga gol Perak, Zamir Selamat selepas itu nyata
gagal membendung pintu gol negara daripada terus dibolosi menerusi sentuhan
penyudah Ahmed Khalil pada minit ke-29, Ali Makhbout (m33) dan Mohamed Gharib
(m39).
Kedudukan 7-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, skuad Harimau Malaya cuba melakukan serangan
balas sekali sekala namun masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan
UAE yang diketuai Mohanad Salem.
Ahmed Khalil mencipta hatrik selepas menjaringkan gol ketiga
pada minit ke-70 untuk menewaskan penjaga gol gantian kedua Malaysia, Mohd
Khairul Azhan Mohd Khalid.
Ali Makhbout turut mencipta hatrik pada minit ke-75 menerusi
percubaan menarik dari luar kotak penalti sebelum Ahmed Khalil mengesahkan
kemenangan besar UAE menerusi gol ke-10, selang dua minit kemudian dan
keputusan berkenaan kekal sehingga tamat perlawan.
MMalaysia dijadualkan menentang Arab Saudi pada aksi keempat
kumpulan A di Stadium Shah Alam pada 8 September ini. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment