PUTRAJAYA - Semua pihak tidak harus mempersoalkan
ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Persidangan
Antirasuah Antarabangsa ke 16 (IACC).
Menurut Pengarah Biro Anti Rasuah Brunei, Datuk Paduka
Muhammad Juanda A Rashid , kehadiran Najib bukanlah menjadi matlamat utama bagi
persidangan ini, sebaliknya apa yang penting semua pihak dapat menumpukan fokus
dan mencapai sasaran sebenar yang digariskan menerusi persidangan ini.
“Dalam memerangi rasuah,kita tidak boleh campur adukkan hal
atau isu yang remeh termasuk politik.
“Apa yang penting,SPRM dan dengan kerjasama kerajaan
Malaysia telah menunjukkan komitmen yang serius dalam memerangi jenayah
rasuah,” katanya ketika ditemui Sinar Online di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya.
Menurutnya lagi, kerajaan Malaysia juga telah banyak
berusaha untuk menganjurkan serta menjayakan persidangan ini.
“Persidangan ini amat berguna bagi kita. Ia memberi peluang
kepada pegawai-pegawai dan agensi anti rasuah di seluruh dunia untuk datang dan
bertukar maklumat dengan agensi lain. Ia merupakan landasan bagi kita semua
untuk meningkatkan ilmu masing-masing.
“Kita dapat belajar daripada agensi dan orang lain tentang
cara baharu berdepan dengan jenayah rasuah. Ia juga memberi peluang kepada kita
untuk memperbaiki dan meningkatkan kemampuan kita dalam mendepani masalah
rasuah. Itulah matlamat kita yang sebenar dan itu yang patut kita fokuskan,”
katanya lagi.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment