Sunday, April 13, 2014

Kejutan balik kampung menjadi kisah duka

3:20 PM No Comments

KOTA BHARU - Hasrat Zarifah Alias, 26, dan suaminya, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, pulang ke kampung halaman dekat Padan Jeman, Salor untuk memberi kejutan kepada keluarga bertukar episod duka apabila mereka maut dalam nahas malam kelmarin.

Kakak mangsa, Zalinawati Alias, 42, berkata, mereka sekeluarga amat terkejut dan tidak menyangka adik bongsunya terlibat dalam kejadian tersebut kerana arwah tidak memberitahu mahu pulang ke kampung.

“Kebiasaannya mereka memang suka buat kejutan dan tidak beritahu bila mahu pulang ke kampung dan kali ini memang membuatkan kami sekeluarga bersedih dengan ‘kejutan’ tersebut.

“Arwah seorang yang ceria, terbaru dia banyak bercerita tentang kandungannya dan tidak sabar menunggu kelahiran bayi pertama mereka pada September depan ketika pulang ke kampung buat kali terakhir Februari lalu.

“Dia berharap anak lelaki dan mahu menamakannya dengan nama ‘Bilal’. Kami adik beradik rapat, saya tidak sangka dia pergi begitu cepat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, semalam.

Tambahnya, adiknya juga masih dalam ‘mood’ pengantin baharu kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Saeed Mohamad, 7 Disember tahun lepas.

Zalinawati berkata, walaupun arwah jarang berada di rumah kerana begitu gemar belajar mereka enam beradik sentiasa berhubung dalam ‘WhatsApp’ keluarga untuk bertanya khabar dan  perkembangan semasa.

Katanya, pasangan arwah juga sudah empat tahun menetap di negara ini malah boleh berbahasa Melayu membuatkan hubungan mereka sekeluarga dengan adik iparnya erat.

Zalinawati berkata, dia hanya mengetahui berita tersebut apabila diberitahu kawan kepada arwah adiknya dan dikhabarkan hanya adik iparnya yang maut.

“Saya tahu berita tersebut jam 6 pagi semalam dari kawan adik yang sentiasa jayakan usrah bersama, mulanya kami dikhabar suaminya sahaja yang maut. Apabila semak senarai penumpang adik kami juga terlibat sama.

Bapa mangsa, Alias Ismail, 72, berkata, anak kesayangannya itu suka belajar dan tidak betah tinggal di rumah kerana sejak di tingkatan satu hingga lima berada di sekolah berasrama penuh dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang bioteknologi di Australia.

“Dia anak yang sangat bijak dan suka belajar. Malah dia bertemu dengan suaminya juga ketika sama-sama bergiat aktif dalam usrah, pak cik reda dengan pemergiannya.

“Sedih tu memang ada tidak boleh dinafikan kerana dia adalah anak paling rapat dan ceria malah sangat disenangi oleh enam kakaknya. Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya yang juga menghidap penyakit angin ahmar.

Tambahnya, dua hari sebelum kejadian arwah ada menelefon dan bercakap dengan ibunya namun tidak memberitahu dia akan pulang dalam masa terdekat.

“Arwah juga ada kata hendak bawa pulang kelapa dari Somalia untuk ditanam di kampung kerana rasanya lebih sedap, lagipun suaminya baru pulang menziarah ibunya di negara tersebut bulan lalu,” ujarnya.

Ibu mangsa, Mahni Othman,72, bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan berita yang menimpa anak dan menantunya itu.

Zarifah adalah penyelidik sambilan di Hospital Sungai Buloh kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM) manakala suaminya pula dikatakan baru sahaja mendapat tawaran kerja di kedutaan Arab Saudi.

Jenazah pasangan suami isteri itu juga masih berada di Hospital Bentong Pahang dan dibawa pulang ke kampung kira-kira jam 6 petang semalam dan urusan pengebumian dilakukan selepas Maghrib.

Arwah mohon penduduk tetap

Seorang rakan baik Saeed ketika ditemui wartawan berkata, dia dan arwah berkawan baik sejak tahun 2009 kerana aktif dalam perwakilan pelajar.

Muhammad Zaki Omar,29, berkata dia mengenali mangsa ketika satu persidangan di Melaka dan kemudian terus rapat sehingga kini.

“Arwah sangat aktif dalam aktiviti sukarelawan dan pernah menjadi Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Antarabangsa.

“Kami rapat dan sentiasa berkongsi cerita bersama-sama. Semasa dia berkahwin dengan isterinya, Zarifah, saya yang menjadi pengapitnya,” katanya.

Katanya, arwah Saeed pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi penduduk tetap negara ini dan ia dalam proses permohonan.

“Setahu saya, dia baru pulang menziarahi keluarganya di Somalia beberapa hari  yang lepas.

“Kemungkinan dia membawa isterinya pulang ke rumah mentua di Kelantan untuk bertanya khabar dan ingin memberikan  cenderahati yang dibawa pulang dari Somalia,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger