BENTONG – "Sebelum kemalangan, pemandu bas sibuk
'bermain' SMS (khidmat pesanan ringkas), malah kenderaan turut dipandu
laju," dakwa seorang penumpang bas, Norfazilah Zainuddin, 22, ketika
ditemui di Hospital Bentong, semalam.
Norfazilah mendakwa, dia yang duduk bersebelahan pemandu bas
berasa tidak sedap hati melihat kelakuan lelaki itu yang leka dengan telefon
bimbit sambil memandu.
Menurutnya, dia menegur pemandu bas beberapa kali, namun
tidak diendahkan.
"Saya cakap baik-baik minta dia fokus kepada pemanduan
kerana bimbang berlaku perkara buruk yang boleh membahayakan saya dan penumpang
lain.
"Dia tidak hiraukan saya langsung dan terus memandu
laju, sebelum bas kami masuk ke laluan bertentangan," katanya.
Norfazilah yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur
berkata, ketika itu, dia hanya sempat menjerit 'Awas, abang!', sebelum bas itu
terbabas dan terbalik.
Katanya, kejadian terlalu cepat dan kepalanya cedera akibat
terhantuk pada cermin hadapan bas, selain lututnya luka akibat terhimpit.
“Saya masih sedar dan hanya dapat melambai-lambai pengguna
jalan raya lain, berharap ada yang membantu mengeluarkan kami yang tersepit,”
katanya yang mahu pulang ke kampung di Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, insiden itu tidak mungkin dilupakan, namun dia
bersyukur kerana terselamat.
Sementara itu,Suhaila Ismail, 32, berkata, dia yang pertama
kali menaiki bas tersebut sangat trauma dengan kemalangan ngeri itu.
Katanya, dia dan abangnya terpaksa menaiki bas itu, selepas
tiket bas yang selalu dinaiki habis dijual.
"Sebelum kejadian, abang memang dah perasan bas
tersebut dipandu laju dan pemandu bas juga asyik menekan brek.
"Saya cedera di bahagian tulang belakang serta rusuk.
Kejadian ini buat saya serik dan trauma naik bas," katanya.
Seorang lagi penumpang, Razali Musa, 47, turut menceritakan
detik cemas insiden itu.
“Saya naik bas bersama isteri, ketika dalam perjalanan saya
tertidur, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman serta cermin pecah.
"Semua penumpang menjerit. Tiba-tiba saya ditindih tiga
individu lain termasuk isteri," katanya.
Menurutnya, memang dia terkejut dengan kejadian itu tetapi mujur dia tidak panik manakala
penumpang yang selamat dan tidak cedera keluar dari bas berkenaan melalui
cermin depan yang pecah.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment