Tuesday, October 28, 2014

Penyokong Anwar rempuh pintu pagar UM

1:36 PM No Comments

KUALA LUMPUR - Pintu pagar utama Universiti Malaya dirempuh penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tadi bagi membolehkan mereka bergerak ke Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) yang terletak hampir 2 kilometer dari pintu utama.

Tindakan berkenaan dilakukan mereka selepas pihak keselamatan universiti menutup laluan keluar sejak jam 7 petang lagi.

Mulanya kesemua mereka yang berada di luar kawasan UM melaungkan “buka, buka” sebelum pintu berkenaan terbuka membolehkan mereka memasukinya.

Manakala Anwar yang tiba jam 9.35 malam dengan ditemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar kemudiannya berarak ke DTC menggunakan kereta pacuan empat roda.

Ia diiringi penyokongnya yang dianggarkan hampir 1,000 orang yang mula berkumpul pada jam 8 malam.

Sebelum itu, hujan renyai-renyai tidak menghalang penyokongnya untuk berkumpul bagi menyambut kehadiran tokoh pembangkang itu.

Anwar kemudiannya menyampaikan pidatonya dalam program ‘40 tahun: Dari UM ke Penjara’.

Larangan program berkenaan dibuat UM kerana difahamkan penganjurnya, Persatuan Mahasiswa UM tidak mengemukakan permohonan kepada pengurusan universiti.

UM antara destinasi terakhir Anwar sebelum berhadapan dengan keputusan kes liwatnya terhadap bekas pembantu, Saiful Bukhary Azlan oleh Mahkamah Persekutuan Rabu ini.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger