BACHOK - Seorang wanita hamil tujuh bulan mendakwa menjadi
mangsa rogol lima lelaki ketika keluar bersama rakannya untuk membeli makanan
di Tangok, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid
Che Ahmad berkata, mangsa, seorang suri rumah berusia 21 tahun keluar dari
rumahnya di Kampung Kuchelong, kira- kira jam 10.30 malam untuk ke rumah
rakannya di Tangok.
Setengah jam kemudian katanya, mangsa mengajak adik kawannya
ke kedai untuk membeli makanan.
“Tiba di tengah jalan, teman lelaki adik rakannya menghalang
perjalanan mereka dan mengarahkan mereka menurutinya ke sebuah wakaf di tengah
sawah di Kampung Kuau.
“Adik rakannya dan
teman lelakinya meninggalkan mangsa di wakaf itu bersama dua lelaki lain. Salah
seorang lelaki tersebut memarahi mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas
(SMS) kepada rakannya agar menjemputnya. Lelaki itu kemudiannya menghubungi
tiga lagi rakannya yang menunggang motosikal,” katanya.
Menurutnya, semua lelaki terbabit bergilir merogol mangsa
dan mangsa hanya dihantar berdekatan rumah rakannya kira-kira jam 4.30 pagi.
"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tawang
pada 1 April.
"Difahamkan, mangsa berkahwin dengan seorang pemandu
lori yang kini berada di Kuala Lumpur. Mereka
mempunyai seorang anak berusia 5 tahun," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha
mengesan semua suspek giat dijalankan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak polis berjaya
mengesan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diculik di Tangok pada
28 Mac lalu.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 2 petang
28 Mac lalu. Mangsa diheret masuk ke dalam kereta oleh suspek yang tidak
dikenali.
Bapa saudara mangsa yang berusia 33 tahun membuat laporan
polis mengenai kejadian itu di Kota Bharu pada jam 4.30 pagi, 2 Mac.
Suspek didakwa meminta tebusan daripada keluarga mangsa di
Bangladesh sebanyak RM15,000.
Hasil maklumat, polis berjaya menemui semula mangsa di
Machang dan menahan 10 suspek terlibat.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan Tangok,
Berkelam. Semua suspek dibawa ke IPD Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan
reman.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment