Friday, April 4, 2014

Pelajar MRSM dipanah petir meninggal dunia

10:17 AM No Comments

MELAKA - Seorang pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang dipanah petir di padang sekolahnya dua hari lepas meninggal dunia di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka hari ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Mara Rohayah Mohd Zain berkata Johan Jasmin, 13, meninggal dunia kira-kira 3.50 petang tadi.

"Jenazah anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa pulang ke rumah mereka di Bukit Jelutong, Selangor dan akan dikebumikan di Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 10 pagi esok," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya jenazah sebelum itu akan disembahyangkan di Masjid Tunku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.
   
Dalam kejadian Isnin lepas, Johan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri dipercayai dipanah petir di padang sekolahnya ketika sedang menuju ke asrama pada 6.05 petang.

Mangsa bersama sekumpulan rakannya sebelum itu menjalani aktiviti sukan di padang sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang ditemui pada majlis perasmian Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Inovasi Negeri Melaka 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Beliau turut menyarankan semua sekolah di negeri itu dipasang sistem amaran keselamatan seperti yang terdapat di padang golf bagi mengelak kejadian sama berulang.  

"Mungkin Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi boleh membantu dari segi  pemasangan sistem ini di sekolah," katanya. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger