KEMAMAN - Seorang nelayan ditemui maut dalam sebuah bot
gentian kaca dalam keadaan bersujud di jeti nelayan Kampung Bukit Kuang di sini
hari ini.
Mangsa, Yusof Ali, 65, ditemui penduduk kampung pada
kira-kira 8 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri.
Seorang saksi, Mohd Azwan Ramli, 32, berkata, ketika beliau
minum di sebuah warung, seorang kawan memaklumkan melihat mangsa yang sudah
lebih sejam tidak bergerak dalam bot gentian kaca itu dalam keadaan bersujud.
Mohd Azwan berkata, cemas dengan keadaan rakannya itu,
beliau bergegas ke jeti sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan
menemui alat sedut bagi penyakit asma di sisi arwah.
"Saya pergi ke jeti dan melihat mangsa serta
memanggilnya beberapa kali namun mangsa tidak menjawab sebelum memeriksa
denyutan nadi yang sudah tiada," katanya kepada pemberita di lokasi
kejadian hari ini.
Mohd Azwan berkata mangsa tidak dibawa ke Unit Forensik Hospital
Kemaman kerana dia meninggal akibat penyakit asma yang dihidapi.
Sementara itu, Lijah Ismail, 64, berkata, suaminya menghidap
penyakit asma sejak beberapa tahun lalu namun masih meneruskan kerja sebagai
nelayan yang dilakukannya sejak muda lagi.
Lijah berkata pada kira-kira 8 malam semalam suaminya pulang
ke rumah sebelum ke ke jeti semula sejam kemudian dan tidak pulang lagi selepas
itu.
"Saya tak ambil kisah bila arwah tak balik rumah
semalam kerana menyangka dia sedang membetulkan peralatan menangkap ikan dan
tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku padanya.
"Saya sangka dia berehat dan tidur di bangsal jeti dan
turun ke laut pada awal sebelah pagi, tapi sangkaan saya tidak benar bila saya
diberitahu arwah meninggal dalam bot miliknya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che
Suza Che Hitam, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan kes
diklasifikasi sebagai mati mengejut. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment