SAYA merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB
Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno, dan barisan Exco Pemuda Umno atas
kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang
menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada
Perdana Menteri.
Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua
Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan
yang teguh berpandukan ajaran Islam.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima
kasih atas sokongan saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan
Presiden Umno yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada
sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak
putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya
supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan Umno,
bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda Umno dalam
meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan
jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan
berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan
terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).
Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang
semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos
sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur
yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan
Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.
Mudah-mudahan ALLAH SWT menjauhi kita daripada sebarang
malapetaka, na’uzubillahi min zalik.
Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan
rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan
dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden Umno, saya menyampaikan kebimbangan
saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan
ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang saya
dijemput hadir sebagai perasmi.
Saya lakukan ini kerana saya sayangkan Umno. Pemimpin datang
dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan
membela agama, bangsa dan negara.
Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam Umno
sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi
berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang
tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.
Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya
berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut
supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak
jawatan.
Seorang Ketua Bahagian di Selangor antara yang paling kuat
mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia
meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi
untuk menyelamatkan parti.
Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan
saya kepada Umno cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam Umno lebih 40
tahun. Malah, ketika Umno diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk
membina semula Umno di Johor sehingga Umno kembali kuat dan Johor menjadi
penyumbang terbesar kemenangan Umno dan BN dalam setiap pilihan raya umum
(PRU).
Saya juga tetap setia bersama parti ketika Umno menghadapi
pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat
dan mendesak saya meletak jawatan.
Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa
lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan
negara.
Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang
dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip
kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh
pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.
Kepada ALLAH saya berserah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak
semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment