IPOH - Keghairahan dua beradik memancing di sebuah lombong
tinggal di Taman Rasi, Menglembu di sini hari ini berakhir dengan tragedi
apabila seorang daripadanya ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang
selepas mereka terjatuh ke dalam lombong berkenaan.
Penolong Kanan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir
Puteh, Ismail Darus berkata, mayat Lee Poh Wei, 16, ditemui pada 5.56 petang
manakala adiknya, Lee Poh Jun, 14, belum ditemui.
Kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila dua beradik itu,
yang tinggal di Bukit Merah, Lahat dikatakan ke lombong berkenaan untuk
memancing ikan bersama seorang lagi rakan mereka, kata Ismail kepada pemberita.
Beliau berkata, insiden itu berlaku apabila Poh Jun
dikatakan cuba menarik kail pancingnya yang tersangkut sebelum tergelincir dan
terjatuh ke dalam lombong berkenaan serta dipercayai lemas.
Poh Wei yang melihat kejadian itu kemudian terjun untuk
menyelamatkan adiknya tetapi dia turut lemas, kata Ismail.
Rakan mereka yang cuba membantu tetapi gagal kemudian
membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sejumlah 39 orang membabitkan anggota polis, bomba serta
Rakan Cop melancarkan operasi mencari, dan mayat Poh Wei ditemui di dasar
lombong.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong
ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai kematian
mengejut.
Beliau berkata, mayat Poh Wei dihantar ke Hospital Raja
Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment