PORT DICKSON – Tindakan empat wanita warga asing berehat di
Pantai Saujana Batu 4, di sini dalam keadaan separuh bogel, tengah hari
kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
Pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan
perlakuan melampau wanita terbabit.
"Mereka pada awalnya hanya berbikini dan berenang di
pantai. Selepas setengah jam kemudian, mereka naik semula ke pantai dan
berjemur dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.
"Tiga dari mereka berusia sekitar 20 hingga 30 tahun,
sementara seorang lagi lebih berusia sekitar 50-an. Mungkin mereka anak
beranak," katanya.
Sementara itu, penjaga tandas awam Pantai Saujana Batu 4,
Latif Ahmad, 61, berkata, dia didatangi oleh empat wanita warga Eropah lengkap
berpakaian sekitar jam 12 tengah hari yang ingin menyewa payung.
"Mungkin mereka menginap di salah sebuah hotel sekitar
Batu 4 berikutan mereka hanya berjalan kaki ke pantai ini.
"Disebabkan saya tidak faham bahasa Inggeris, saya
hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dengan bantuan orang awam
lain, dia dimaklumkan wanita berkenaan ingin menyewa payung dan meminjam
kerusi," katanya.
Tambah Latif, dia tidak menyedari kejadian berkenaan
sehinggalah diberitahu wartawan.
“Jarak antara tandas ini dan lokasi kejadian agak jauh,
ditambah pula tempat ini dihalang oleh tandas," katanya.
Katanya, sekitar jam 4 petang, wanita berkenaan memulangkan
semula kerusi dan sempat bertanya bagaimana hendak ke restoran segera di Port
Dickson," jelasnya.
Latif berkata, sejak dia bertugas sebagai penjaga tandas
hampir dua tahun lalu, ini kali pertama dia mendengar berita mengenai kejadian
seperti itu.
“Memanglah tidak ramai pengunjung yang datang ke pantai ini
semalam (kelmarin) kecuali pada hujung minggu atau cuti umum, memang pantai ini
padat dengan pengunjung,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port
Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, walaupun kes itu terpencil, namun
pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut
mengenainya.
“Mandi tanpa pakaian di tempat awam adalah satu kesalahan dan
melanggar etika Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dalam hal ini.
Sekiranya perkara sama berlaku, orang ramai diminta segera menghubungi MPPD
atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin
Mustapha berkata, sehingga jam 6 petang semalam, pihaknya belum menerima
sebarang laporan polis berkenaan perkara tersebut.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment