SUNGKAI - Ibu saudara kepada lima beradik yang kehilangan
ibu bapa mereka dalam kemalangan Jumaat lepas, melahirkan rasa kesal dan kecewa
kerana terdapat pihak menabur fitnah bahawa keluarganya akan menghantar lima
beradik itu ke rumah anak yatim dan mengambil semua duit sumbangan.
Junaida Mohd Zain, 42, berkata beliau meminta pihak
berkenaan agar menghentikan segala fitnah yang disebarkan melalui laman sosial
Facebook itu.
"Kami ada perasaan...jangan cakap macam tu, lima
beradik ini adalah darah daging kami. Walau apa pun terjadi kami tak kan
pisahkan mereka, kami adik beradik boleh
jaga mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman
di sini hari ini.
Seorang lagi ibu saudara lima beradik itu, Zainah, 44,
mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang melakukan
penipuan dengan meminta derma untuk lima beradik itu melalui Facebook.
"Kepada sesiapa yang mahu derma hubungi saya terlebih
dahulu, jangan mudah percaya dengan kutipan derma di Facebook," katanya
yang mempunyai tiga orang anak.
Sementara itu, Muhd Haikal Jefri, 16, berkata dia dan
adik-adiknya akan terus tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan mereka akan dijaga
oleh ibu saudara yang tinggal berdekatan dengan rumahnya.
"Adik saya yang bongsu kadang-kadang merengek cari mak
saya, dia kata mak dan ayah ada di sini," katanya dengan sayu.
Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, juruteknik Jefri Mohd
Zain, 50, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam
perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam
kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew.
Pasangan itu meninggalkan lima anak - Muhd Haikal, 16, Fatin
Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment