SHAH ALAM - Polis dilihat tiba di rumah Kapten Zaharie Ahmad
Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370, pada 2.42 petang tadi
selepas sidang berita Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai
perkembangan pesawat yang hilang itu.
Tiga anggota polis berpakaian preman itu memperkenalkan
mereka dari ibu pejabat polis Bukit Aman kepada pengawal keselamatan yang
mengawasi kediaman Laman Seri di Seksyen 13 di sini, sebelum mengambil pas
keselamatan untuk memasuki kawasan itu.
Difahamkan anggota polis berkenaan telah menjalankan
pemeriksaan di kediaman juruterbang itu dan mereka dilihat meninggalkan rumah
itu pada 4.46 petang.
Wakil-wakil media tempatan dan asing yang menunggu di
kawasan perumahan itu, tidak dibenarkan memasukinya oleh pengawal keselamatan.
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke
Beijing dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada Sabtu lepas.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi
hari yang sama. Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari
kelapan hari ini, masih gagal mengesan pesawat itu.
Sementara itu, polis dijadual memberi kenyataan rasmi
mengenai pemeriksaan di rumah Zaharie pada satu sidang media esok.
"Saya tidak boleh nyatakan bila mereka jalankan
siasatan dan siapa yang memberi maklumat mengenai perkara itu kepada agensi
berita luar negara, Reuters, tadi tetapi apa yang boleh diberitahu setakat ini,
kemungkinan perkara itu akan diumumkan esok.
"Diharap media boleh menunggu," katanya. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment