SHAH ALAM - Tragedi
Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan kru disifatkan
oleh Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Airline, Sir Timothy Charles Clark
sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai yang dirancang’.
Oleh itu Clark berkata, beliau berharap dalang yang
bertanggungjawab terhadap tragedi itu di bawa ke muka pengadilan supaya mereka
dikenakan hukuman sewajarnya atas tindakan itu.
“Kapal terbang tersebut ditembak jatuh. Ada yang menyatakan
ia satu kemalangan, tapi saya tidak mempercayainya. Kapal terbang itu ditembak
dengan pengetahuan sepenuhnya apa yang dilakukan.
“Pihak Belanda menyatakan bahawa insiden ini adalah satu
tindakan jenayah dan pelakunya perlu dibicarakan di mahkamah antarabangsa.
"Ia memang jenayah. Saya menyifatkannya sebagai pembunuhan
beramai-ramai yang dirancang dan dalang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka
pengadilan.” kata Clark dalam satu temu bual bersama wartawan Andreas Spaeth
yang diterbitkan di Sydney Morning Herald.
Mengulas lanjut, Clark berkata, tragedi MH17 perlu menjadi
satu ‘game changer’ kepada industri penerbangan di mana perlu ada perkongsian
maklumat yang lebih baik supaya syarikat penerbangan boleh memilih laluan
penerbangan yang selamat.
“Komuniti syarikat penerbangan kadang-kadang perlu melalui
zon-zon konflik dan ada yang terus mengelakkan kawasan tersebut. Setakat ini,
kami telah hentikan penerbangan ke Erbil, Damsyik dan Tripoli.
"Terbaru kami hentikan penerbangan ke Sana’a dan kami
masih menimbangkan kemungkinan penghentian penerbangan ke atas Peshawar,
Pakistan juga.
"Pengurusan penerbangan perlu mengimbangi perkara
sebegini sepanjang masa. Jadi, kerja ini dapat dilaksanakan dengan lebih
berkesan jika kami mendapat lebih maklumat,” katanya
Emirates telah menghentikan penerbangan menerusi ruang udara
Iraq semenjak kejadian MH17.
Sementara itu, apabila ditanya tentang masa hadapan MAS, Clark berkata, cabaran yang dihadapi MAS
sangat berat kerana setakat ini tiada syarikat penerbangan yang mendepani dua
tragedi berturut-turut dalam tempoh beberapa bulan.
Oleh itu, katanya buat masa ini MAS mungkin perlu menilai
semula modal perniagaan mereka dan mempertimbang untuk menjenamakan semula
syarikat.
“Malaysia Airlines melambangkan jenama Malaysia. Ia
merupakan duta perniagaan (Malaysia). Sememangnya amat sukar untuk mendepani
stigma. MAS perlu menilai semula modal perniagaan dan penjenamaan semula.”
“Industri penerbangan tidak harus duduk dan melihat (MAS)
‘hilang’ berikutan dua insiden tersebut. Kami perlu cuba menolong mereka
mendepani masalah-masalah yang dihadapi.” katanya.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke
Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan
kesemua 298 penumpang dan kru.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment