Tuesday, November 25, 2014

Kutip kerang

7:52 PM No Comments

MARANG - Sanggup bersabung nyawa kerana kerang!

Demikian keadaan di Pantai Rusila, Rhu Dua, Pulau Kekabu dan terbaru di Rhu Rendang apabila orang ramai masih memenuhi kawasan pantai tersebut untuk mengutip kerang.

Walaupun pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran dan larangan agar kawasan pantai ditutup untuk sebarang aktiviti kerana keadaan cuaca dan laut berbahaya, namun arahan itu tidak diendahkan.

Malah, kejadian nyaris lemas ketika mengutip kerang yang dilaporkan media seolah-olah tidak memberi iktibar. Itu belum termasuk dakwaan penduduk yang mengatakan sejak fenomena kerang melanda pantai di Marang, Jumaat lalu, sudah lebih 10 mangsa nyaris menjadi korban.

Kebanyakan mangsa yang nyaris lemas itu dikatakan tidak dibawa ke hospital, sebaliknya pulang ke rumah masing-masing selepas berjaya diselamatkan orang awam.

Dakwaan jumpa emas

Difahamkan, banyak pihak begitu berminat untuk mengutip kerang bukan kerana ingin menikmati kerang rebus atau kerang bakar, tetapi untuk memperoleh ‘harta karun’ yang dikatakan tersimpan di dalam perut kerang tersebut.

Gambar kerang berisi emas yang didakwa ditemui di Pantai Rusila tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, dan laman sosial Facebook baru-baru ini telah menjadi tarikan baharu kepada orang ramai untuk ke pantai mencari hidupan tersebut.

Tidak kurang yang menyimpan hasrat untuk ‘mendulang’ kerang berisi emas yang sehingga kini tidak diketahui sejauh mana kebenarannya.

Senario itu menimbulkan kebimbangan kerana situasi boleh bertukar menjadi malapetaka, tambahan cuaca panas sejak Jumaat lalu mulai berakhir apabila sesetengah kawasan di negeri ini kembali dilanda hujan sejak awal pagi semalam.

Bekas Pengerusi Masjid Rusila, Omar Mohamad yang tinggal berhampiran Pantai Rusila turut melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan pengunjung berikutan kejadian nyaris lemas itu semakin meningkat dan dikhuatiri akan meragut nyawa.

Tidak mahu ada yang menjadi korban, ahli jawatankuasa Pas Cawangan Rhu Dua turut mengambil langkah awal dengan menyediakan kelengkapan pelampung dan tali untuk menyelamatkan mangsa yang dibawa arus ombak.

Jauhi kawasan berbahaya

Sementara itu, seorang pengunjung, Abdullah Mohd Rani, 46, dari Rhu Renggeh berkata, dia dan keluarga tetap datang ke pantai berkenaan untuk mengutip kerang, namun tetap mengutamakan keselamatan dan tidak pergi jauh ke kawasan berbahaya.

Seorang lagi pengunjung, Halimah Sulaiman, 42, berkata, kehadirannya dan keluarga di pantai itu hanya untuk melihat orang ramai sambil menunggu sekiranya ada pihak ingin menjual kerang dikutip yang dijual pada harga RM5 bagi setiap tiga kilogram.

“Saya juga berpesan kepada ahli keluarga lain terutamanya anak-anak agar mereka tidak pergi jauh dari pantai.

"Biasanya yang memperoleh kerang banyak adalah penduduk setempat kerana mereka tahu di mana kawasan tidak merbahaya dan kawasan pantai curam,” katanya.


Kebesaran ALLAH SWT

Bagi Ketua Pemuda Pas Marang, Muhammad Khalil Abdul Hadi,  fenomena kerang ‘mendarat’ di Pantai Rusila adalah tanda kebesaran ALLAH SWT dan keluasan rahmat-Nya.

"Sudah tentu ia adalah satu kurniaan daripada ALLAH kepada hamba-Nya yang taat akan perintah-Nya sebagaimana firman-Nya: Jika sekiranya penduduk bandar/kampung itu beriman dan bertakwa nescaya kami akan buka baginya rezeki daripada langit dan bumi “Al-A’raaf: 96",” katanya.

Beliau berkata, ia juga mungkin satu peringatan daripada ALLAH supaya manusia sedar dan bertaubat kepada-Nya.

Menurutnya, tidak mustahil apa yang berlaku adalah kesan daripada perubahan cuaca di seluruh dunia hasil daripada kerosakan yang dilakukan manusia itu sendiri.

“Dalam keseronokan mencari kerang ini, saya ingin berpesan agar pengunjung menjaga batas-batas agama seperti tidak meninggalkan solat, batas pergaulan lelaki dan perempuan dan juga aurat.

"Jangan pula rahmat yang datang bergolek itu disambut dengan mengundang kemurkaan daripada ALLAH," katanya.

Muhammad Khalil berkata, memandangkan musim tengkujuh sinonim dengan ombak besar dan arus deras, beliau juga menasihatkan pengunjung supaya menjaga keselamatan diri, keluarga dan sahabat handai agar dapat mengelak musibah.

“Akhirnya saya ingin mengajak seluruh kaum Muslimin dan Muslimat untuk sama-sama kita mensyukuri nikmat ALLAH kepada kita semua.

"Bersyukur kepada-Nya bukan sahaja dengan ucapan di mulut tetapi dengan berusaha melaksanakan segala perintah ALLAH dalam kehidupan kita,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger