PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro
Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 kali ini turut tidak melepaskan peluang
memberi pengunjung pengalaman merasai pelbagai jenis makanan popular 14 negeri
di Malaysia.
Tidak lengkap jika mengadakan sesuatu pameran sekiranya
tiada dipamerkan dan dijual makanan popular setiap negeri atau kawasan buat
pengunjung merasa dan membelinya.
Tinjauan wartawan Sinar Harian pada hari ketiga MAHA 2014
menyaksikan orang ramai tidak berhenti keluar masuk ke dewan D bagi merasai
makanan dan minuman popular di Popular Dish.
Terdapat beberapa keunikan gerai mempamerkan makanan mereka
dengan lebih menarik dan berbeza daripada kebiasaannya.
Puding raja keunikan dari Pekan Pahang
Mungkin ada tidak pernah mendengar apatah lagi merasa
sejenis pencuci mulut dikenali sebagai Puding Raja yang terkenal di Pekan,
Pahang.
Menurut Ahmad Safuan wakil Icah Catering yang menjual Puding
Raja di MAHA 2014 berkata, makanan tersebut merupakan makanan dari istana
Sultan Abu Bakar Pekan, Pahang.
“Kelebihan Puding Raja ini merupakan resipi turun temurun
keluarga dan ia berasal dari istana dan merupakan makanan kegemaran raja-raja
dan sukar didapati di luar.
“Proses menyediakan puding ini agak rumit kerana semua
bahannya memerlukan kita membuat sendiri seperti jala emas,” katanya.
Puding raja menggunakan pisang lemak manis, ceri, buah prun,
telur itik dan susu.
Ahmad Safuan berkata, selama tiga hari di MAHA 2014 lebih
daripada 400 bekas puding raja berjaya dijual dan mendapat sambutan
menggalakkan.
“Permintaan kali ini meningkat dan kami terpaksa balik
semula untuk mengambil stok baharu selepas habis dijual. Keadaan ini juga
berlaku kerana pengunjung tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai makanan
tradisi Pahang,” katanya.
Udang Sanggul Perlis digemari
Unik dan lain daripada yang lain, itu yang dapat diungkap
wartawan Sinar Harian apabila melihat udang dililit bersama popia halus dan
digoreng sehingga kuning keemasan yang dikenali sebagai Udang Sanggul.
Udang Sanggul merupakan produk makanan popular dari Perlis
dan hanya boleh didapati di negeri tersebut sahaja.
Pemiliknya Azlina Mat Salleh berkata beliau memulakan
perniagaan Udang Sanggul enam tahun lalu dan bertahan sehingga sekarang kerana
keunikannya.
“Produk ini hanya ada di Perlis sahaja. Cara untuk
membuatnya ialah udang, isi ikan dan sotong dibalut dengan kulit popia halus
dan digulung menjadi sanggul.
“Udang Sanggul ini mesti rangup dan boleh dimakan bersama
nasi atau sambal yang pasti lebih enak,” katanya ketika ditemui di boothnya.
Menurut Azlina, perniagaannya kini mempunyai francais di
Kota Bahru; Kelantan dan Melaka serta mempunyai produk sama dalam bentuk sejuk
beku.
“Bagi produk sejuk beku, Udang Sanggul boleh didapati dalam
kotak yang mempunyai 12 ketul yang dijual pada harga RM15 sahaja,” katanya.
Azlina berkata, jualan sepanjang tiga hari MAHA 2014
berlangsung amat memberangsangkan.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment