Friday, October 31, 2014

Rumah bakal pengantin diserbu

4:41 PM No Comments

KUALA LUMPUR - Sepasang kekasih yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dicekup ketika sedang asyik memproses daun ketum di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam berjaya menahan pasangan berusia 44 dan 26 tahun itu.

“Siasatan di rumah pasangan terbabit yang dipercayai sudah menyewa sejak empat bulan lalu didapati menjalankan aktiviti pengedaran dan pemprosesan air ketum sebelum diedarkan di sekitar Wangsa Maju.

“Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu peti beku yang mengandungi 106 botol air ketum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, semalam.

Menurutnya, turut ditemui timbunan daun disyaki ketum yang belum dan sudah diproses seberat 68.5 kilogram, satu periuk besar, dapur gas dan tong gas yang digunakan untuk memproses barang terlarang tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati daun tersebut diperolehi dari utara tanah air sebelum dihantar menggunakan khidmat pos laju dan bas ekspres. Malah, pihaknya percaya terdapat permintaan yang tinggi berdasarkan jumlah kuantiti daun ketum tersebut.

“Air ketum ini dijual dengan harga RM20 sebotol dan dipercayai ia mampu menghasilkan sebanyak 449 botol bernilai kira-kira RM8,970 berdasarkan jumlah rampasan daun berkenaan.

“Ujian air kencing didapati negatif. Pasangan tersebut kini direman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3)(5) Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan tidak menolak kemungkinan pembeli terdiri daripada golongan pelajar sekolah.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger