SHAH ALAM - Pemuda Pas mengkritik tindakan Sister In Islam
(Sis) yang mencabar fatwa pengharamannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sehingga
cuba mengheret badan itu ke mahkamah.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi
berkata, kebiadaban Sis yang mencabar pengharamannya kerana berpegang kepada
liberalisme dan pluralisme agama adalah bahawa kumpulan tersebut menggerakkan
agenda pemesongan ke atas ajaran Islam di negara ini.
“Malah, tindakan Sis itu mencabar institusi Raja-raja Melayu
yang menjadi payung naungan Islam di negara ini serta Perlembagaan negara yang
telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ia sekaligus membuktikan Sis mengetuai gerakan untuk menyebarkan
ajaran atas nama Islam secara terpesong tanpa menjejak kepada sumber hukum yang
nyata yakni al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas ulama,” katanya dalam satu
kenyataan.
Dalam pada itu, Pemuda Pas turut menyatakan sokongan
terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut dan melahirkan kekesalan
atas keengganan Sis untuk akur dengan keputusan berkenaan seterusnya bertaubat
serta bermuzakarah dengan pihak berwajib bagi membetulkan kesilapannya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan
segera kepada Sis yang disifatkan sebagai pelampau agama.
“Tindakan Sis mencabar fatwa itu ke mahkamah hanya meluaskan
sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada aliran songsang yang
dinamakan dengan Islam.
“Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani
pihak kerajaan agar ia tidak membarah dalam masyarakat.
“Kerajaan boleh mencontohi tindakan tegas Majlis Ulama
Indonesia yang memfatwakan haram kepada Jaringan Islam Liberal yang membawa
pengaruh sama seperti Sis di Malaysia,” katanya.
Beliau sempat menasihati masyarakat agar sentiasa berwaspada
dengan agenda-agenda tersebut yang sewenang-wenang mentafsir dan membentuk
amalan bertentangan dari ajaran Islam.
“Sentiasalah merujuk para alim ulama dalam perkara ini
kerana kita tidak hanya akan hidup di dunia, tetapi akan diperhitungkan di
akhirat untuk ketetapan hidup kekal sama ada di syurga atau neraka,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment