Kuala Lumpur: Keputusan analisis makmal terhadap dua coklat
keluaran Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd jelas menunjukkan ia mengandungi DNA
babi (porcine).
Justeru, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emiritius
Tan Sri Dr Abd Shukor Husin, berkata keputusan muzakarah pada 2011 bahawa umat
Islam diharuskan mengambil makanan dan minuman yang mengandungi bahan najis
seperti DNA babi akibat daripada pencemaran yang tidak disengajakan atau tidak
disedari, tidak terpakai kepada dua produk keluaran Cadbury itu.
Beliau berkata keputusan itu berdasarkan belum ada
penyelidikan yang dapat mengenal pasti sama ada DNA babi yang tercemar adalah
asli atau sintetik dan sejauh mana tahap pencemarannya.
Selain itu, katanya, pencemaran DNA itu juga boleh berlaku
dengan mudah melalui udara secara tidak disedari atau tanpa diketahui secara
zahir dan pakar sains berpandangan adalah amat sukar untuk menghalang
pencemaran berkenaan daripada berlaku.
“Ia berbeza, yang kita maksudkan (fatwa lalu) ramuan,
kandungan dan cara pemprosesannya disahkan sebagai bersih, suci dan halal serta
menjadi bahan makanan atau minuman yang diterima umat Islam secara meluas
tetapi kemudian berlaku pencemaran kandungan seperti DNA babi secara sengaja
atau tidak, maka ia harus diambil sebagai makanan kerana kandungan asal adalah
halal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sudah disahkan
Beliau berkata kes coklat Cadbury pula memang jelas ada DNA
babi dan disahkan oleh Kementerian Kesihatan yang membuat ujian, oleh itu
keputusan muzakarah lalu tidak terpakai pada kes produk berkenaan.
Beliau berkata demikian mengulas penyebaran keputusan muzakarah
pada 2011 itu yang boleh mengelirukan orang ramai berikutan isu coklat Cadbury
itu.
Abd Shukor berkata pihaknya tidak bercadang untuk
bermuzakarah untuk membuat ketetapan baharu.
“Tidak perlu buat fatwa baharu sebab nyata ia salah (coklat
ada DNA babi), ia bukan saja haram malah pengeluarnya juga perlu dikenakan
tindakan tegas.
“Cuma sekarang kita sedang menunggu keputusan makmal dibuat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sama ada perkara ini dilakukan secara
sengaja atau tidak, banyak mana kuantiti digunakan, adakah berlaku penipuan
atau tidak amanah kerana hasil produk ini bukan saja haram dimakan malah mereka
yang melakukan penipuan harus dihukum,” katanya.
Sumber : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment