Wednesday, May 28, 2014

Dyana Sofya akan tewas?

12:46 PM No Comments

APAKAH  Dyana Sofya akan menang? Meskipun berbekalkan majoriti 7,000 di Mei 2013, DAP masih beranggapan mereka masih di belakang berbanding BN.

Di sebelah BN, mereka juga menganggap calon mereka, Presiden Gerakan, Mah Siew Keong sebagai 'underdog'. Tetapi gerak-geri Umno-BN memberikan isyarat jelas bahawa mereka terbau ada peluang keemasan untuk merampas kerusi Teluk Intan.

Pengundi Cina

DAP sebenarnya berdepan dengan dua masalah yang tidak dijangkakan di kalangan pengundi Cina.

Pertama, DAP mungkin menghadapi kemerosatan undi Cina kerana sabotaj dalaman sendiri.

Pencalonan Dyana tidak diterima baik oleh DAP Perak. Namun, perkara ini ditutup dengan rapi oleh serangan bertubi-tubi pada peribadi Dyana.

Ada yang merasakan para pemimpin tertinggi DAP perlu diberi pengajaran untuk menyedarkan mereka bahawa mereka perlu menghormati hasrat akar umbi. "You just cannot do it the way you like and as you wish."

Bagi golongan ini, mereka merasakan tiada apa yang perlu dikesalkan jika kerusi ini jatuh ke tangan Gerakan.

Malah daripada sudut politik dalaman, kekalahan di Teluk Intan akan menyebabkan para pemimpin tertinggi DAP berfikir dua kali sebelum campur tangan di bahagian negeri.

Selain itu, DAP juga berdepan dengan permainan perkauman daripada pengundi Cina sendiri.

Persoalan yang berlegar di minda para pengundi Cina konservatif ialah apakah jaminan kerusi ini jatuh kembali ke tangan wakil rakyat berbangsa Cina sekiranya ia bertukar tangan ke bangsa lain?

Sentimen ini semakin mendalam apabila PRK Teluk Intan terpaksa diadakan tidak lama selepas PRK Kajang yang memperlihatkan kerusi Cina jatuh di tangan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Api ini sudahpun ditiup dan merebak di kedai kopi, dan DAP semestinya sedar kewujudan sentimen ini.

Perlu diingat golongan yang terkesan dengan sentimen ini ialah warga Cina yang duduk di Teluk Intan dan bukan daripada kalangan muda-mudi yang sudah berhijrah di bandar.

Oleh itu, DAP sudahpun memulakan gerak kerja ‘Jom Balik Mengundi’.

Gerak kerja ini pula disusulkan dengan kenyataan yang memberikan gambaran kedudukan DAP kini berada dalam keadaan bahaya di Teluk Intan sebagai ‘galakan’ untuk memotivasikan golongan muda-mudi yang sering berlegar di ruang Internet ini untuk balik mengundi.

Kemerosotan undi Cina sudah pasti berlaku, yang diharapkan DAP ialah kejatuhan itu tidaklah sehingga menjejaskan peluang Dyana untuk meraih kemenangan.

Ini Gerakan, bukan MCA

Empat tahun lagi sebelum PRU14 akan berlangsung. Untuk empat tahun ini, apa kata kita berbaik dengan BN dan mendapat segala apa yang diperlukan di PRK Teluk Intan kali ini sebelum memberikan undi kembali kepada DAP di PRU14 nanti.

Pemikiran itu kini berlegar di minda para pengundi Teluk Intan yang masih tinggal di kawasan Parlimen tersebut.

Hakikatnya, di peringkat kawasan, kekalahan DAP di sini tidak merugikan pengundi di Teluk Intan.

Malah, sebenarnya kekalahan DAP boeh memberikan banyak keuntungan kepada penduduk Teluk Intan dalam jangka masa pendek kerana BN akan memberikan segalanya kerana mereka sangat dahagakan kemenangan.

Apatah lagi, kerajaan Perak adalah di bawah BN dan bukannya Pakatan Rakyat.

Ini masalah terbesar DAP di peringkat kawasan.

Bukan itu sahaja, di peringkat nasional pula, pengundi Cina mula bertanya apakah faedahnya untuk membunuh parti komponen BN, terutamanya mereka merasakan harapan untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya semakin malap kerana pertelingkahan dalaman parti dan antara parti yang tidak habis-habis.

MCA sudahpun membunuh diri. Apakah faedahnya jika mereka turut membunuh Gerakan dengan membiarkan presidennya kalah di Teluk Intan?

Semua tekanan ini memaksa DAP untuk bergantung kepada isu nasional dan berkempen ke arah menjadikan PRK Teluk Intan ini sebagai referendum untuk isu-isu nasional, termasuklah terhadap tindakan celaka segelintir ahli Umno yang bertindak di luar batasan undang-undang dalam konfrontasi ‘Umno celaka.’

Pengundi Melayu

Dilema orang Melayu selalunya adalah antara memilih antara Umno dengan Pas.

Keberanian DAP meletakkan Dyana di Teluk Intan membuka dinamik baru. Namun, Dyana tidak patut menyentuh mengenai isu hudud di PRK Teluk Intan.

Meskipun Gerakan dan DAP menolak pelaksanaan hudud di Malaysia, tetapi di mata pengundi Melayu ada perbezaan ketara seorang wanita Islam menolak hudud berbanding seorang bukan Islam menolak hudud.

Untuk lima hari terakhir kempen ini, hudud perlu dikeluarkan daripada sebarang ceramah Dyana.

Kerana takutnya jika ini berterusan akan ada golongan pengundi Melayu yang tidak akan mengundi langsung kerana serba-salah untuk memilih.

Mengekalkan sokongan Melayu yang diperolehi di Mei 2013 sudah cukup untuk Dyana.

Pengundi luar

Inilah kunci kepada kemenangan DAP. Majoriti lebih 7,000 yang dikira amat besar di Mei 2013 adalah penghalang sebenar kepada pengundi luar untuk pulang mengundi.

Sesiapa yang berlegar di Internet akan mendapat persepsi bahawa Dyana adalah calon 'favourite' di Teluk Intan.

Ini membahayakan kedudukan DAP jika pengundi luar Teluk Intan berfikiran sama.

Pengundi luar akan mengambil sikap seperti pengundi di Bukit Gelugor jika beranggapan parti yang mereka sokong sudah pasti menang.

DAP perlu menyakinkan bahawa kelompok pengundi ini bahawa Dyana di dalam bahaya dan memerlukan undi mereka untuk menang. Jika tidak, Dyana betul-betul dalam bahaya.

Penamat

DAP tahu Dyana kini menghadapi kemerosotan undi Cina dan juga undi Melayu. Sekarang sasaran DAP hanyalah ‘asalkan menang.’ Majoriti 1 undi pun tidak apa.

Jika Dyana tewas, DAP bakal hadapi pergolakan dalaman. Lebih teruk lagi, DAP akan hilang keberanian untuk mencuba nasib dengan calon Melayu di kerusi Cina.

Lebih menyayatkan lagi, hasrat untuk melahirkan lebih ramai Dyana di Malaysia juga akan terbantut.

Kepada Dyana, berusahalah sehingga ke saat akhir. Semoga Dyana berjaya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger