Saturday, April 5, 2014

Mangsa rogol bersalin lepas buat laporan

1:31 PM No Comments

JELI - Seorang gadis yang mendakwa menjadi mangsa rogol melahirkan anak kira-kira tiga jam selepas membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Sheikh Azhar Sheikh Omar berkata, gadis berusia 15 tahun itu mendakwa dirogol seorang rakan lelaki dikenali dengan nama ‘Abang Long’, September tahun lalu.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Nibong, Tanah Merah, meminta bantuan suspek menghantarnya ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Bukit Bunga, dekat sini.

“Suspek sebaliknya bawa mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun ke satu kawasan hutan di Ayer Lanas, Jeli, dengan alasan bertemu kawan sebelum menarik mangsa ke dalam semak dan merogolnya.

“Mangsa hanya buat laporan polis pada jam 2.55 pagi, Selasa lalu dan kira-kira jam 5.30 pagi, mangsa melahirkan anak di rumahnya di Kampung Nibong, Tanah Merah,” katanya, semalam.

Sheikh Azhar memaklumkan, mangsa mengenali suspek yang merupakan pelanggan di kedai makan tempat kerjanya kira-kira sebulan sebelum kejadian dan sering berhubung melalui telefon.

“Selepas merogol mangsa, suspek didakwa mengambil telefon bimbit dan wang milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa seorang diri di tempat kejadian.

“Mangsa berjalan keluar dari kawasan hutan itu dan menghubungi seorang kawan lelaki menggunakan telefon awam dan meminta rakannya itu menghantarnya ke tempat kerja tetapi tidak menceritakan mengenai kejadian,” katanya.

Tambahnya, tiga hari selepas dirogol, mangsa pergi ke rumah bapa saudaranya di Perlis untuk bekerja sebelum menyedari dirinya mengandung kira-kira dua bulan selepas kejadian.

“Pada awal tahun ini, mangsa pergi ke Johor untuk bekerja di kedai makan dan perubahan pada dirinya hanya disedari ahli keluarga apabila dia pulang ke kampung pada 25 Mac lalu.

“Setelah didesak ibunya, mangsa yang tidak berani memberitahu kejadian tersebut sebelum ini kerana takut dimarahi akhirnya menceritakan perkara sebenar dan mereka mengambil keputusan membuat laporan polis,” kata Sheikh Azhar.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan suspek berusia 17 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Ayer Lanas di rumahnya di Kampung Ayer Chanal, dekat sini.

“Suspek direman tujuh hari bermula Selasa lalu, manakala mangsa masih ditahan di Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan dan kaunseling.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger