KUALA LUMPUR - Penganalisis jenayah percaya tiada unsur
bunuh diri dalam misteri kehilangan pesawat MH370 dan pesawat itu selamat
mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr
Saharuddin Awang Yahya berkata, berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini,
sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.
Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya
membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta
kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan.
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil
alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam
situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan
juruterbang pesawat berkenaan," katanya kepada Bernama.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu
dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar
kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing
pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak
diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum
membuahkan hasil.
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan
sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit
Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah
barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki
sama ada koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan
dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan
meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan
membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan,
Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan
Indonesia .
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi
Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi
beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar
di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan
Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009.
Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun,
beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai
isu-isu melibatkan keselamatan dan kepenggunaan. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment