KUALA LUMPUR - Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines
(MAS) Penerbangan MH370 sejak Sabtu terus membingungkan pakar-pakar penerbangan
serata dunia.
Di tahap ini, seorang pakar penerbangan mengemukakan bukti
sejarah yang boleh menjadi penyebab kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER
berusia 11 tahun itu.
Sebab-sebab itu merupakan gabungan kesilapan teknikal dan
juruterbang hingga membawa kepada kesan-kesan terkumpul, kerosakan struktur,
faktor kemanusiaan, cuaca buruk, kegagalan total elektrik dan rampasan pesawat.
Menurut Perunding Ruang Angkasa dan Pertahanan Frost and
Sullivan Asia Pacific, Ravi Madavaram, tidak wujud faktor tunggal yang umumnya
menyebabkan pesawat terhempas, tetapi gabungan kerosakan teknikal dan keputusan
juruterbang.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata
kerosakan dan keputusan jika berlaku bersendirian tidak membahayakan.
"Ini yang berlaku kepada Air France 447. Tidak ada
isyarat kecemasan dari Air France 447 kerana pilot (juruterbang) tidak sedar
bahawa mereka akan terhempas hinggalah 10 saat sebelum ia berlaku," jelas
beliau.
Mengenai kerosakan struktur, Madavaram berkata kegagalan
struktur pesawat boleh menyebabkan pilot hilang kawalan.
"Ini yang berlaku kepada China Airlines Penerbangan
611, semasa terbang di ketinggian 35,000 kaki pada 2002 bila Boeing 747
(Penerbangan 611) terhempas akibat kesilapan dalam pembaikan kerosakan.
Menyentuh faktor kemanusiaan, beliau menegaskan tindakan
yang disengajakan seumpamanya oleh penumpang atau pilot hingga menyebabkan
pesawat terhempas telah ditonjolkan dalam insiden World Trade Centre 9/11.
Pakar itu menyatakan keadaan cuaca buruk seperti salji,
kabus, hujan, dan ais boleh menjejas prestasi pesawat, yang berkemungkinan
mengakibatkan pesawat terhempas.
"Ini berlaku pada penerbangan sebuah pesawat Qantas
pada 2008 di Bangkok. Pesawat itu mendarat dengan selamat dengan tenaga
sokongan dari Auxiliary Power Unit (APU)," katanya.
Madavaram menolak kemungkinan MH370 dirampas, kerana adalah
mustahil bagi pesawat itu terlepas dari semua imbasan radar dalam kawasan
penerbangannya.
Menjelas lanjut, beliau berkata setiap pesawat sivil
komersial mempunyai alat pengesan, Emergency Locator Transmitters (ELT), dan ia
akan diaktifkan semasa pesawat terhempas bergantung pada kekuatan hentakan atau
maklumat diberikan juruterbang.
Beliau berkata satu lagi lampu isyarat (beacon) dilekatkan
pada alat perakam penerbangan atau kotak hitam dipanggil Underwater Locator
Beacon (ULB), dan lampur isyarat ini akan diaktifkan sebaik saja ia bersentuh
dengan air.
"Andainya pesawat terhempas di air, ELT akan menghantar
isyarat, tetapi ia tidak kalis air. ULB mula menghantar isyarat sebaik saja ia
tersentuh dengan air," kata beliau.
ELT dan beacon menggunakan bateri sendiri dan kegagalan
elektrik tidak menjejas alat-alat ini.
"Bateri beacon atau beacon kotak hitam direka untuk
hayat 28 hari. Jika beacon kotak hitam padam dan pesawat tidak dikesan dalam
tempoh tersebut, maka satu-satunya harapan ialah mencari serpihan dan dari situ
cuba mengesannya dengan gerak berundur," kata beliau. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment