Port Dickson: Satu objek dipercayai rakit getah keselamatan
kapal terbang dengan tulisan 'boarding' ditemui sekumpulan empat nelayan
kira-kira 10 batu nautika dari pantai di sini, semalam.
Penemuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai dapat
memberi petunjuk dalam usaha pihak berkuasa mengesan pesawat MH370 milik
Penerbangan Malaysia (MAS) yang dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan
menara kawalan sejak awal Sabtu lalu.
Nelayan Azman Mohamad, 40 berkata, mereka sedang menangkap
ikan di perairan terbabit sebelum sebelum terpandang objek berkenaan tenggelam
timbul dipukul ombak.
Katanya, dia bersama tiga rakan yang mengikuti perkembangan
kes kehilangan pesawat MH370 melalui media, tertarik untuk melihat objek itu
dengan lebih dekat.
"Saya dan rakan sedaya upaya cuba mengambil objek itu
dan berjaya sebelum menambatnya pada bot kerana bimbang ia tenggelam dalam
laut.
"Objek itu mungkin tidak mampu terapung lama kerana koyak
atau bocor," katanya, ketika dihubungi semalam.
Azman yang sudah 20 tahun menjadi nelayan berkata, mereka
keluar menangkap ikan pada jam 8 pagi dan pulang kira-kira jam 8 malam.
"Sebaik menemui objek itu, saya terus menghubungi
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Linggi, Melaka, untuk
mendapatkan bantuan selepas gagal menaikkan objek itu yang terlalu berat.
"Saya yakin penemuan objek itu penting kerana mungkin
boleh menjadi petunjuk kepada usaha mencari pesawat MH370 kerana terdapat
tulisan ‘boarding’ pada permukaan objek itu.
"Ia mungkin adalah rakit getah penyelamat yang
dibekalkan kepada penumpang pesawat untuk menyelamatkan diri di laut,"
katanya.
Katanya, sebaik bot APMM tiba di lokasi, tugas mengangkat
objek itu diserahkan kepada pasukan berkenaan, manakala mereka kemudian
menyambung kerja menangkap ikan.
Sementara itu, jurucakap APMM Kuala Linggi ketika dihubungi
mengesahkan sepasukan anggotanya dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat
penemuan itu.
Bagaimanapun, katanya objek itu terus tenggelam dalam laut
dan tidak sempat diselamatkan.
Sumber : http://www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment