Thursday, February 20, 2014

KR1M diperluas ke semua IPT | Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)

5:37 PM No Comments

JOHOR BAHRU: Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), yang kini menawarkan sebanyak 397 produk, bakal diperluas ke institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dalam usaha mengurangkan kos sara hidup pelajar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, setakat ini tidak banyak produk atau kedai KR1M di IPT memandangkan keperluan pelajar dilihat agak berbeza dengan keperluan umum.

"Kami akan bincang dengan IPT untuk membuka lebih banyak KR1M di sana. Persatuan pelajar atau koperasi pelajar boleh memohon untuk menguruskan KR1M ini," kata beliau kepada pemberita selepas melawat kedai Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai di sini.

Antara IPT yang menjual produk KR1M ialah UTM cawangan Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara (cawangan Melaka), Kolej Kemahiran Tinggi Mara and Universiti Sunway.

"Kami menawarkan produk yang 50 peratus lebih murah daripada pasaran. Dengan membuka atau menawarkan lebih banyak KR1M di IPT, pelajar boleh turut menikmati faedah dan dalam masa yang sama mengurangkan beban kos sara hidup," kata Ahmad Bashah.

Setakat ini, terdapat sebanyak 126 kedai KR1M di seluruh negara dan kerajaan turut mensasarkan sebanyak 60 kedai KR1M dibuka tahun ini.

Ahmad Bashah juga berharap lebih banyak KR1M dibuka sekurang-kurangnya satu di setiap kawasan parlimen bagi memastikan semua rakyat menikmati usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup.

Menyentuh barangan segar yang bakal dijual di KR1M mulai 1 Mac ini, beliau berkata sebagai permulaan sebanyak 10 lokasi KR1M akan dipilih untuk menjual barangan itu.

Beliau berkata kerjasama ini diadakan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan pihak berkaitan.

"Kita nak pastikan dulu bekalan barangan segar mencukupi sebelum memperluaskan ke kedai-kedai KR1M seluruh negara. Mungkin lepas ini mereka boleh menawarkan barangan segar lain seperti daging dan sebagainya," kata beliau.

Menurut Fama barangan segar akan dibeli terus daripada petani termasuk ikan, sayur-sayuran, ayam dan buah-buahan. - Bernama

Sumber : http://www.hmetro.com.my/


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger