Monday, June 6, 2011

Dosa Mengumpat Hanya Boleh Di ampunkan oleh mangsa

2:39 AM No Comments



Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut

keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.



Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu
perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)



Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk
apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama
pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.



Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti
memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging
manusia, inikan pula daging saudara sendiri.



Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan
diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.



Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi
orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan
menerima pembalasannya diakhirat.



Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana
mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan
zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan
sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya
sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan
Ibnu Hibbad)



Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi
sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.



Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya
diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas
perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah
S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman
dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu
mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban
saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan
mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat
Abu Daud)



Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada
rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.



Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah
seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum
itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering
sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.



Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar
apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya
didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah
datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah
melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang
yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".



Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan



kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan
kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.



Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha
mengelakkan diri daripada melakukannya.



Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada
mengumpat.


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger