SHAH ALAM - Pereka fesyen, Anuar Faizal hari ini tampil
menjelaskan tentang kontroversi rekaan baju rayanya yang teruk dikritik netizen
di media sosial.
Menurut Anuar, tujuan peraga pakaian tersebut tidak memakai
berbaju dan hanya memakai samping atau berseluar adalah bagi menunjukkan kepada
penonton rekaan kedua-duanya itu dengan lebih jelas.
Menurut Anuar, samping berwarna mustard yang dikritik orang
ramai itu akan dijual satu set bersama baju dan seluar, bukannya hanya
bersamping di pagi raya.
"Tujuan model tidak berbaju adalah untuk menunjukkan
rekaan 'instant sampin' supaya pembeli di luar sana dapat mengetahui bagaimana
samping ini berfungsi.
"Gambar (hanya) berseluar adalah untuk menunjukkan
rekaan seluar kami yg 'slimfit', lengkap bersama dua poket di kiri dan kanan
serta menggunakan getah di belakang agar memudahkan pergerakan sewaktu solat.
"Ini adalah kerana bila dipakaikan dalam set lengkap, ramai
pembeli beranggapan seluar kami tidak fleksibel untuk solat di pagi
Aidilfitri," katanya kepada Sinar Online.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengkritik majlis 'An
EIDvening with ANUARFAIZAL: Unveiling the Eid Collection for Men' yang
berlangsung malam tadi apabila ada peraga pakaian tersebut hanya berseluar atau
bersampin.
Mengulas lanjut, beliau akui menghargai segala respons yang
diberikan netizen terhadap rekaannya itu.
"Saya bersyukur ramai netizen di luar sana yang matang
dan dapat menilai perkara ini dari sudut yang positif.
"Untuk berdaya saing maju di peringkat global, saya
rasa pemikiran di tahap lama perlu diubah dan
dinaiktarafkan agar pereka tempatan dapat menempa tempat di persada
antarabangsa," katanya