Monday, October 13, 2014

Mangsa dihempap bumbung jejantas syukur

2:02 PM No Comments

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian bumbung jejantas tercabut dan diterbangkan angin sebelum terjatuh merentangi jalan di Lebuh Raya Taman Perling-Pasir Gudang berhampiran Taman Kobena, di sini, bersyukur kerana hanya cedera ringan dalam kejadian itu.

Pemandu Honda Jazz yang hanya mahu dikenali sebagai Tan itu berkata kejadian berkenaan berlaku dengan pantas ketika dia dalam perjalanan dari Desa Tebrau menghala ke Tampoi, di sini.

"Saya tidak ingat apa-apa kerana kejadian berlaku sekelip mata, tetapi, saya perasan ada sesuatu terkena kereta (bumbung) sebelum ia kemudian jatuh ke atas jalan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tan yang berusia 30-an berkata kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku dalam keadaan hujan lebat.

Akibat terkena bumbung jejantas yang tercabut itu bumbung keretanya di atas tempat duduk pemandu kemek.

Menceritakan lebih lanjut, dia yang sudah berkahwin berkata kejadian itu menyebabkan pintu keretanya gagal dibuka, namun, dia bertindak pantas memecahkan cermin pintu dan keluar menyelamatkan diri.

"Saya masih trauma dengan kejadian ini. Nasib baik saya tidak mengalami kecederaan teruk ataupun kehilangan nyawa. Yang rosak teruk adalah kereta sahaja," katanya yang cedera di bahu kiri dan kepala.

Selain Tan, kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 4.30 petang itu turut menyebabkan seorang pemandu lori berusia 50-an dan tiga wanita di dalam sebuah kereta Toyota Vios cedera.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati bumbung jejantas sepanjang kira-kira 40 meter itu jatuh merentangi kedua-dua belah laluan dan menghalang lalu lintas.

Pekerja Majlis Perbandaran Johor Baharu kelihatan bertungkus lumus bekerja memotong bumbung itu kepada beberapa bahagian untuk dialihkan supaya laluan itu boleh dilalui semula kenderaan. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger