Monday, October 13, 2014

Suami bercinta dengan janda

4:25 PM No Comments


[SOALAN]

SAYA mohon identiti saya dirahsiakan umum kerana saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dalam masalah rumah tangga saya ini. Perkongsian ini sekadar untuk meleraikan segala kekusutan di hati yang kian sarat seakan tidak tertanggung lagi.

Saya dan suami telah berkahwin selama dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel dan sempurna sifatnya.

Kami berdua terpaksa hidup berjauhan dan tinggal berasingan kerana tuntutan kerja sejak berkahwin. Saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan manakala suami bekerja sendiri dengan menguruskan perniagaannya.

Pada awal perkahwinan suami tidak pernah berungut untuk tiap-tiap minggu balik berjumpa dengan saya. Selepas empat bulan bernikah saya disahkan hamil, lalu bermulalah episod hitam dalam hidup saya.

Sepanjang mengandung dan menjaga diri sendiri di fikiran saya suami di sana mencari rezeki untuk kebahagiaan saya dan anak yang bakal lahir nanti. Itu hanyalah kata-kata manis untuk saya memujuk diri dan hati yang derita.

Suami berubah sikap dari seorang yang mengambil berat dan selalu menghubungi menerusi panggilan telefon atau mesej, kini semakin sepi.

Sejak kebelakangan itu dia lupa akan kehadiran saya dalam hidupnya, hinggakan pada suatu hari saya menghantar sms pun dia tidak balas. Kadang-kadang jam 3 pagi saya bangun dari tidur saya akan belek telefon bimbit melihat kalau-kalau ada mesej dan panggilan daripada suami.

ALLAH itu maha adil dan pada suatu hari suami tertinggal telefon bimbit di rumah dan pada masa yang sama ada sms daripada seseorang. Tanpa berfikir panjang saya membaca sms tersebut. Hancur luluh hati saya membaca SMS berbunyi “SEHARIAN U TAK CALL, SMS I, MCM I NI TAK WUJUD DLM HIDUP U”.

Pada malam tersebut saya menangis. Perempuan mengandung sangat sensitif dan perlukan kasih sayang seorang suami. Selepas peristiwa tersebut suami terus membuat kata kunci telefon bimbit dengan alasan tidak mahu saya tahu apa-apa mengenai dia. Saya benar-benar kecewa.

Sewaktu kandungan saya sembilan bulan, saya didatangi perempuan tersebut yang mengakui telah menjalin hubungan dengan suami malah hubungan mereka sudah lebih dari suami isteri.

Menggeletar tubuh yang sarat mengandung ini. Suami saya juga telah pun mengaku dengan alasan kami berjauhan.

Kenapa dia tak beritahu dari awal? Bukankah hubungan kami boleh diselamatkan tanpa perlu dia berlaku curang?

Pada saya, ini hanya alasan suami  membenarkan kesalahan yang dia buat. Saya amat kecewa dengan perbuatannya. Saya bersalin seorang diri di hospital. Saya sedih dengan pengorbanan yang tidak dihargai.

Saya tidak minta pengorbanan saya dibayar cukuplah sekadar menghargai. Sering kali saya meminta penceraian daripada suami tetapi bila memandangkan wajah anak kecil, saya jadi kasihan kepadanya yang membesar tanpa seorang bapa. Suami saya pernah berkata tidak akan menceraikan saya selagi saya tidak serahkan anak kepadanya.

Suami sekarang sedang teruskan hubungan dengan janda tersebut manakala saya terlontar sepi seorang diri menjadi ibu dan ayah kepada anak tunggal kami. Saya telah ke pejabat agama mendapatkan nasihat dengan membawa segala bukti-bukti. Alhamdulillah hati sedikit tenang.

Malah saya juga bercadang untuk berpindah tempat kerja agar dapat duduk sebumbung dengan suami.

Tetapi, soalannya adakah suami akan berubah hati? Dan kembali kepada saya dan anak?

Bagaimana saya mahu menambat hatinya semula sedang hati saya sakit? Saya masih sayangkan suami dan rumah tangga ini dan selalu berdoa suami kembali ke pangkal jalan. - Su, Johor.


Apa Kata Pakar oleh Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, Motivator

Cari kekuatan diri, tawan suami

Memang benar, apabila berjauhan kebanyakan suami akan ‘terlupa’, apatah lagi jika ia digoda. Dalam kes ini, meskipun suami anda bersalah, janda yang menggoda suami anda itu lebih bersalah. Perbuatan dia menyerahkan diri telah menyebabkan suami anda lebih terlena.

Mungkin juga dia tidak tahu lelaki yang dikenalinya pada masa itu adalah suami orang dan bakal bergelar ayah. Membina sebab ‘luar kotak’ membantu anda positifkan minda, memanglah hati sakit tetapi kita kena cari sebanyak-banyak sebab untuk memujuk hati kita sendiri bukan?

Saat begini siapalah yang akan kisahkan diri kita?

Kalau kita bercerita pada orang pun belum tentu orang itu bersimpati kepada kita, apalagi hendak memberikan pertolongan.

Memujuk hati sendiri dengan mempositifkan minda ini sangat baik untuk kesan kesihatan yang berpanjangan, sebab apabila mental sakit, ia mengakibatkan spiritual turut sakit, akhirnya melarat kepada fizikal turut mendapat kesannya.

Silalah berpindah tempat kerja supaya keadaan dapat dipulihkan sebelum melarat menjadi lebih kronik.

Andainya suami mampu sememangnya anda tidak perlu bekerja pun. Bukankah tugas mencari rezeki adalah kewajipan suami? Islam tidak melarang wanita bekerja tetapi andainya disebabkan bekerja itulah timbul macam-macam masalah, ia bukanlah bijak lagi.

Jika anda tanya bolehkah suami berubah hati, tiada siapa yang dapat menjawabnya secara tepat kecuali diri suami itu sendiri serta ALLAH yang Maha Mengetahui, namun sebagai insan yang mahukan yang terbaik dalam hidup, ia adalah salah satu usaha yang paling utama untuk diberikan perhatian.

Mengikut pengalaman saya menangani kes-kes seperti ini, seseorang suami yang sudah terkalih itu boleh ditawan semula melalui;

-Kembali hidup sebumbung. Maklumlah orang yang sudah terkalih tentulah yang dekat lebih diingatinya berbanding yang jauh walaupun yang jauh itu nyata lebih baik dan lebih cantik. Ini bermakna keputusan anda mengasingkan diri hidup berdua bersama anak adalah silap kerana tanggungjawab membesarkan anak bukan sepenuhnya tertanggung ke atas bahu anda sahaja, suami anda turut bertanggungjawab.

-Bertekadlah memberikan layanan A1.  Mengapa agaknya dia terpikat kepada janda berkenaan, tentunya sebab janda itu dilihatnya lebih menarik. Seorang janda tentu sudah hilang seri pada wajah dan bentuk badan, tetapi kelakuan yang manja-manja juga adalah antara sebab-sebabnya mengapa seseorang itu tunduk. Bagaimana anda hendak bermanja-manja jika berjauhan?

- Memang boleh menghantar SMS atau Whatapps suara, tapi tentu tidak sama dengan berdepan sahaja.

-Hubungan seksual yang luar biasa mestilah dipersembahkan dalam setiap proses-proses ‘keintiman’. Seorang suami bukan hanya terpikat oleh apa yang sedia ada pada isterinya, juga bakat-bakat terpendam yang boleh menyebabkannya tersenyum dan riang serta sering teringat-ingat. Saya harap anda faham apa yang saya maksudkan.

-Anak adalah pengikat kasih, jika tinggal satu rumah keletah anak akan membuatkan hati terhibur lantas kasih sayang suami isteri dapat diterapkan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger