Friday, May 23, 2014

TNB didenda RM 100,000 kerana hina mahkamah

7:08 PM No Comments

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman denda RM100,000 ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana menghina mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan turut memberi amaran keras kepada juruukur yang diupah TNB, Ahmad Rustami Ramley, yang juga didapati bersalah bagi kesalahan sama.

Gunalan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Thomas Philip, yang mewakili Pengarah Syarikat Lenang Development Zaharey Jusoh; peguam Steven Thiru, Gurmel Singh serta Gregory Das bagi pihak TNB manakala Ahmad Rustami diwakili peguam Gopal Sreenevasan dan Leong Phaik Leng.

Beliau turut mengarahkan TNB membayar denda itu dalam tempoh 14 hari.

Pada 10 April lepas, Gunalan memutuskan TNB serta Ahmad Rustami bersalah kerana menyembunyikan bahan bukti semasa perbicaraan kes saman berhubung isu tanah setinggan yang difail Bukit Lenang Development dan menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

Saman itu difail Zaharey Jusoh pada 2003 ke atas 300 penduduk setinggan yang didakwa menceroboh serta mendirikan penempatan di tanah milik syarikat berkenaan di Kampung Plentong di sini.

Syarikat itu turut menyaman TNB, Telekom Malaysia Bhd dan Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd kerana menceroboh tanah berkenaan serta memberi kemudahan asas kepada penduduk setinggan.

Telekom dan SAJ telahpun menyelesaikan kes itu di luar mahkamah namun TNB, menerusi Ahmad Rustami, menafikan ia mendirikan tiang elektrik di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, plaintif mengemukakan salinan laporan kerja ukur lengkap yang dilakukan Ahmad Rustami untuk TNB, yang diperlukan bagi mendirikan tiang terbabit, kepada mahkamah.

Terdahulu, Philip meminta mahkamah mengenakan denda RM4 juta ke atas TNB sebagai peringatan dan pengajaran kepada pihak lain selain hukuman setimpal ke atas Ahmad Rustami.

Thiru, Gurmel Singh dan Gregory Das pula merayu mahkamah mengenakan denda RM10,000 ke atas TNB manakala Gopal dan Leong meminta Gunalan sekadar memberi amaran kepada Ahmad Rustami. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger