Thursday, May 8, 2014

15 tahun derita sakit misteri

12:49 PM No Comments

REMBAU –“Ada masanya saya terasa sakit seluruh badan. Sakitnya seperti dicucuk duri. Tapi, doktor kata saya hidap sakit usus,” luah Rokiah Baba, 59, ketika ditemui di kediaman sewa anaknya di Jalan Datuk Mohd Dom, dekat sini, semalam.

Rokiah berkata, sejak hampir 15 tahun lalu, dia tiba-tiba diserang sakit misteri dan terpaksa berhenti kerja sebagai tukang sapu di sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di daerah berkenaan.

Menurutnya yang merupakan ibu tunggal sejak lebih tiga tahun lalu, susulan penyakitnya itu, dia tidak mampu lagi bekerja dan hanya bergantung kasih serta harapan pada lapan anaknya untuk menguruskan dirinya.

“Kini saya tinggal di rumah sewa anak saya, Mohd Fadzly Zainal, 34. Kami lapan sekeluarga menetap di sini termasuk seorang anak saya yang masih bersekolah di tingkatan tiga serta anak perempuan saya, Nur Fazilatul Wahida Zainal, 20, yang tidak bekerja bagi menjaga saya.

“Urusan mandi dan tukar lampin saya dibantu sepenuhnya oleh menantu dan anak perempuan saya,” katanya.

Walaupun Rokiah memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi untuknya menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan kos ke hospital.

Menurutnya, susulan masalah kewangan yang dihadapinya itu, ada kalanya dia terpaksa menggunakan surat khabar sekiranya kehabisan lampin pakai buang dan tidak mampu untuk membeli keperluan perubatan lain.

“Sebelum ini, dia ada memohon bantuan Baitulmal dan sudah diluluskan beberapa tahun lalu, namun kesukarannya untuk menyediakan akaun bank menyebabkan saya tidak mendapat bantuan berkenaan.

“Kini, saya hanya bergantung kepada anak-anak, namun pendapatan mereka juga hanya sekadar cukup makan sahaja.  Bila ada individu yang sudi hulur bantuan termasuk beli lampin pakai buang, saya berasa sangat lega.

Sementara itu, individu yang tidak ingin dikenali berkata, dia sering menziarahi keluarga berkenaan sejak tiga tahun lalu dan menghulurkan bantuan sekadar mengikut kemampuannya.

“Kakak Rokiah ini kini bergerak menggunakan kerusi roda dan banyak bantuan yang perlu dipenuhi terutamanya bantuan lampin pakai buang serta susu khas bagi tulang belakangnya susulan dia hanya duduk dan terbaring sahaja.

“Oleh itu, saya berharap agar ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal ini memandangkan dia sememangnya amat memerlukan bantuan berkenaan," katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger