MELAKA - Ratusan pelbagai spesies ikan laut dan air tawar
ditemui mati di muara Sungai Melaka berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan
Kuarantin (CIQ) di sini.
Insiden itu dilaporkan berlaku sejak semalam melibatkan
antaranya spesies ikan bawal, kitang, belanak dan keli.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Melaka Abd Hapiz A Samad
berkata pemeriksaan mendapati kejadian itu bukan disebabkan pencemaran air
khususnya dari kawasan perindustrian berhampiran.
"Ia disebabkan kandungan oksigen yang terlarut dalam
air dilapor berkurangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari
ini.
Beliau berkata ia juga mungkin ekoran hujan lebat pada Isnin
lepas menyebabkan air dari hulu Sungai Melaka melalui kawasan bandar dan
membawa bahan organik iaitu pelepasan dari sisa dapur rumah dan restoran.
Abd Hapiz berkata, apabila empangan muara sungai ditutup
bahan organik terbabit tidak dapat mengalir ke laut menyebabkan ia mereput
serta mengeluarkan kandungan karbon dioksida yang tinggi.
Katanya kadar kemasinan air di kawasan itu juga rendah iaitu
pada bacaan tujuh menyebabkan ikan laut berkenaan mati.
"Mungkin ikan laut masuk ke muara sungai tersebut pada
waktu air pasang dan terperangkap selepas empangan di muara berkenaan ditutup
dan berlakunya perubahan habitat yang menyebabkan ikan itu tidak dapat hidup
lama," katanya.
Sementara itu, Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan
Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman berkata pihak berkuasa diminta memantau
kejadian itu dan mengambil langkah segera mengatasinya supaya tidak menjejaskan
hidupan laut serta menyebabkan kehilangan sumber pendapatan nelayan. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment