Saturday, December 20, 2014

Masa makin suntuk buat peminjam PTPTN

10:52 AM 2 comments

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kurang dua minggu sahaja lagi masa yang tinggal buat 173,985 peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum nama mereka tersenarai di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, tindakan itu akan mula berkuat kuasa pada Januari 2015.

“Jangan kata kami tidak beri masa kepada mereka, kerana PTPTN telah menunggu terlalu lama untuk mereka tampil berjumpa dengan kami.

“Jika diambil dari tahun 1998 peminjam tegar itu, kini sudah 16 tahun berlalu. Jadi janganlah anggap apa yang kami lakukan itu kejam atau sengaja mahu melakukan perkara itu, ini sistem biasa yang diguna pakai oleh sistem perbankan lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan PTPTN untuk berhubung dengan peminjam ini, malah pelbagai insentif turut ditawarkan untuk menarik minat mereka membuat bayaran balik.

Beliau berkata, sejak pengumuman pelaksanaan CCRIS pada 5 November 2014 yang lalu, kutipan bayaran balik menyaksikan peningkatan sehingga 66 peratus.

“Setakat akhir November lalu, seramai 18,253 peminjam tegar PTPTN telah tampil berhubung dengan kita, malah ada buat bayaran penuh kerana mahu menikmati diskaun 20 peratus yang ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, ketika ini pihaknya sedang menggalakkan semua peminjam untuk tampil menghubungi PTPTN bagi merebut peluang tersebut di samping mengambil kesempatan bertukar kepada pembiayaan ujrah yang hanya mengenakan upah satu peratus.

Sehingga Ogos 2014,  hanya seramai 205,971 peminjam telah pun menerima tawaran pertukaran ujrah, manakala  masih terdapat seramai lebih 700,000 peminjam yang belum membuat pertukaran ujrah.

“Kempen Jom Tukar Ujrah ini telah bermula sejak 1 Oktober lalu dan akan berakhir 31 Disember ini, sayang jika peminjam tidak rebut peluang tersebut kerana daripada kos pentadbiran tiga peratus boleh ditukar kepada hanya satu peratus sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap semua peminjam segera tampil di pejabat atau cawangan PTPTN sebelum 31 Disember ini.

Katanya, semua peminjam layak memohon pertukaran itu, malah bermula 17 Oktober lalu, peminjam boleh melakukan pertukaran itu secara atas talian di laman web PTPTN.

Selain itu, Mastura turut mengingatkan ibu bapa agar merebut peluang membuka akaun  anak-anak mereka di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi mendapat keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM6,000 setahun.

“Akaun itu boleh dibuka dengan deposit serendah RM20 sahaja, tetapi bagi pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas turut mendapat perlindungan takaful secara percuma,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


2 comments:

  1. kalau dah sampai 16 tahun tu macam tak logik pulak kalau tak boleh bayar balik... kesian kat peminjam2 baru yg susah nak dapat sebab takder pusingan modal

    ReplyDelete
  2. alamak.... ini sgt bahaya. kalau tersenarai xleh keluar negara..huhu.. kena make sure tak skip bayar dh ler..hehe

    ReplyDelete

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger