PASIR MAS - Rata-rata penduduk di Rantau Panjang menyifatkan
banjir yang melanda kawasan berkenaan adalah yang terburuk sejak 10 tahun
lepas.
Tinjauan Bernama mendapati Rantau Panjang dinaiki air antara
1 hingga 3 meter akibat limpahan air Sungai Golok.
Banyak premis perniagaan di sekitar pekan Rantau Panjang
yang merupakan kawasan membeli-belah Zon Bebas Cukai ditenggelami air sejak dua
hari lepas.
Berpuluh kenderaan turut ditenggelami air berikutan
pemiliknya tidak sempat memindahkannya berikutan air naik begitu mendadak dan
mereka tidak menjangka banjir akan berlaku seteruk itu.
Bercakap kepada Bernama, Mohd Noor Jaafar, 57, berkata air
mula naik mendadak pada pukul 10 malam Rabu lepas dan dalam tempoh tiga jam,
paras air sudah mencecah kira-kira 1.5 meter.
"Rata-rata penduduk tidak menyangka banjir kali ini
teruk sebab itu mereka tidak sempat untuk memindahkan kenderaan masing-masing.
"Peralatan dalam rumah termasuk peti sejuk, mesen
basuh, televisyen dan perabot habis ditenggelami air," katanya sambil
memberitahu sebuah kereta dan dua buah motosikal miliknya turut ditenggelami
air.
Mohd Zin Abdullah, 61, berkata banjir melumpuhkan pekan
Rantau Panjang yang turut memutuskan bekalan elektrik.
"Rumah saya dua tingkat. Air mula memenuhi tingkat
bawah hanya dalam beberapa jam sahaja. Sekarang kami duduk di tingkat atas dan
tidak boleh ke mana-mana sebab sekitar rumah masih di tenggelami banjir,"
katanya yang tinggal di Taman Rantau Mas.
Mohd Zin yang rumahnya berhampiran Masjid Jubli Perak Sultan
Ismail Petra atau Masjid Beijing berkata beliau dapat menyaksikan banyak kereta
dan motosikal yang dipakir di perkarangan masjid berkenaan ditenggelami air.
Hasmah Ramli, 40, berkata banjir kali ini adalah yang paling
teruk kerana hampir keseluruhan kawasan pekan Rantau Panjang dinaiki air.
"Memang seingat saya banjir pada tahun 2004 dan 2007
sebelum ini tidak seteruk kali ini, ini sampai habis rumah saya tenggelam,
hanya nampak atap sahaja.
"Kalau banjir sebelum ini air hanya naik pada paras
betis dan masih boleh diduduki tetapi kali ini memang air naik terus ke dalam
rumah," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan
Gual Tinggi di sini, hari ini.
Hasmah berkata sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan,
bekalan elektrik di kawasan rumahnya juga terputus.
"Ini kali pertama saya melihat kereta ditenggelami air.
Banyak kereta yang tidak dapat diselamatkan kerana air bergerak terlalu
cepat," katanya.
Nurihah Mat Daud, 48, berkata beliau juga terkejut apabila
melihat beberapa kenderaan ditenggelami air.
"Memang tak sangka air naik cepat. Rumah saya sendiri
kalau sebelum ini air naik di tangga sahaja, tetapi kali ini air masuk hingga
ke dalam rumah.
"Saya puji tindakan pantas pihak berkuasa yang peka
dengan keadaan masyarakat dengan segera menghulurkan bantuan," katanya.
Che Rahimah Ibrahim, 60, berkata kawasan rumahnya juga turut
dinaiki air sehingga paras pinggang.
"Kalau sebelum ini hanya naik sehingga paras betis,
tapi banjir kali ini sungguh luar biasa. Memang amat teruk," katanya. -
Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Semoga penduduk tabah menghadapinya dan banjir kembali surut.
ReplyDelete