BANDARAYA MELAKA - Rahsia seorang wanita bersekedudukan
hingga melahirkan lima anak akhirnya terbongkar selepas dia ditahan
penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di Pulau Besar, dekat sini,
kelmarin.
Wanita berusia 31 tahun bersama semua anaknya berusia satu
hingga 11 tahun itu sedang tidur di dalam khemah di tepi pantai, sebelum
pemeriksaan mendapati bukan sahaja tiada kad atau sijil perakuan nikah malah
anak-anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran.
Ketua Penguatkuasanya, Rahimin Bani berkata, dalam
pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, wanita itu mendakwa tidak lagi bersuami dan
datang ke pulau tersebut serta tinggal bersama anak-anak yang tidak bersekolah
kira-kira dua bulan lalu.
“Siasatan awal, wanita yang berasal dari Jengka, Pahang itu
mengaku berkahwin di Thailand pada tahun 2002 bersama seorang lelaki yang
didakwa sebagai suami berusia 37 tahun dan mereka dikurniakan lima anak.
“Wanita itu mengatakan empat anaknya lahir di Melaka
sementara anak ketiganya di Seremban namun dia dan pasangan tidak pernah
mendaftarkan kelahiran tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini,
semalam.
Rahimin berkata, wanita yang berniaga di gerai di kawasan
pulau itu, sebelum ini tinggal bersama pasangan serta anak-anaknya di Masjid
Tanah, Alor Gajah sebelum berpindah ke Pulau Besar.
“Ketika pemeriksaan wanita itu mengatakan suami sudah lari
dan tidak tinggal bersama, namun kita percaya pasangannya itu masih berada di
pulau tersebut dan kita akan cuba menjejaki lelaki itu untuk siasatan lanjut.
“Enam beranak itu kemudian dibawa ke pejabat penguatkuasaan
Jaim sebelum kanak-kanak terbabit diserahkan diserahkan kepada pihak Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Menurutnya, serbuan hasil maklumat orang awam mengenai
terdapat pasangan dan lima anak tinggal di dalam khemah itu dilakukan dalam
operasi bersepadu diketuai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Kita syak dia dan pasangannya bersekedudukan hingga
melahirkan anaknya tidak saf taraf justeru kes ini akan disiasat di bawah
Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana bersekedudukan.
“Bagaimanapun diingatkan kepada pasangan yang bernikah di
luar negara pastikan dokumen diperoleh untuk memohon pengesahan pengiktirafan
nikah oleh Mahkamah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rahimin berkata, pihaknya sering
membuat pemeriksaan di Pulau Besar malah lawatannya ke kawasan tersebut tiga
hari lalu mendapati masih terdapat
kegiatan berunsur khurafat pada kubur-kubur di kawasan tersebut.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment