Thursday, May 15, 2014

Cinta FB bawa ke hotel bajet

12:20 PM No Comments

ALOR SETAR - Seorang wanita baru mengenali teman lelakinya melalui laman sosial Facebook (FB) dicekup dalam serbuan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel bajet, dekat sini.

Wanita berusia 26 tahun terbabit mendakwa berasal dari Sabah datang ke Semenanjung Malaysia semata-mata untuk mencari pekerjaan atas bantuan teman lelakinya.

Difahamkan, dia sanggup menaiki kapal terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum dibawa teman lelakinya ke negeri ini untuk mendapatkan kerja.

Malah, dia bagaimanapun memberikan alasan terpaksa menginap di hotel bajet terbabit untuk menjimatkan wang, malah mendakwa baru sahaja memasuki bilik itu.

Namun, teman lelakinya berusia 23 tahun bertindak menyembunyikan diri di bawah katil hotel berkenaan semasa serbuan sehingga memaksa penguatkuasa mengangkat katil itu.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam, pasukan penguatkuasa Jaik turut menahan beberapa pasangan termasuk seorang kanak-kanak di hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

Bawa anak OKU berkhalwat

Dalam perkembangan sama, seorang ibu muda sanggup membawa anak perempuannya berusia tujuh tahun semata-mata untuk bermadu kasih bersama teman lelakinya yang berusia 23 tahun.

Difahamkan, wanita berusia 25 tahun dari Teluk Kechai, dekat sini, dalam proses penceraian bersama suaminya, bagaimanapun masih memegang status isteri orang.

Ibu muda terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya yang bekerja di sebuah pasaraya mendakwa hubungan dia bersama wanita terbabit hanyalah kakak angkat semata-mata.

Manakala, wanita terbabit mendakwa keluar dari kediaman mereka bersama anak perempuan orang kurang upaya (OKU) kerana tiada tempat berlindung selepas dihalau keluar.

Turut ditahan, suami orang berusia 32 tahun dari Jalan Datuk Kumbar, dekat sini, bersama anggota sukarelawan wanita sebuah jabatan dari Pulau Pinang.

50 penguatkuasa sertai Ops Khalwat

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Mohd Roshidi Mahmud, 50, berkata, penguatkuasa menyertai operasi demi membendung perbuatan tidak bermoral terbabit.

Katanya, serbuan dilakukan di beberapa lokasi seperti di Jalan Lencong Barat, Seberang Perak, Lebuhraya Darul Aman dan sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

“Dalam operasi kali ini, ada pasangan dikesan sudah beberapa kali ditahan termasuk di Lorong Petani sebelum ini. Tidak ketinggalan, pasangan tukang masak dan jurujual,” katanya.

Jika sabit kesalahan, mereka dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

“Ibu bapa dinasihatkan mengawal penggunaan laman sosial anak-anak mereka. Dar Facebook boleh membawa maksiat apabila mereka melakukan pertemuan di hotel,” katanya.

Malah, katanya, dia meminta masyarakat tempatan memandang serius isu sedemikian meskipun ia tanggungjawab pihak tertentu kerana ia amanah Allah SWT kepada semua.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger