KUALA NERANG - Seorang pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama
(SMA) As Siddiqiah Al Islamiah, Naka dekat sini meninggal dunia selepas makan
mi segera malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu Mohamad Daud
Shariff, 18, sebelum itu dikatakan makan mi segera sebelum tidur di bilik
asrama bersama beberapa rakan yang lain.
Rakan mangsa, Mohamad Hisham
Zainol, 17, berkata sebelum itu mereka terdengar bunyi dengkuran kuat
dan menganggap ia perkara biasa kerana semua pelajar keletihan setelah bermain
bola pada sebelah petang.
Katanya mereka hanya mengetahui kejadian itu selepas guru
mereka yang melakukan rondaan terdengar bunyi dengkuran yang kuat dan memeriksa
bilik itu.
"Sebaik lampu asrama dihidupkan ternampak mulut arwah
sudah berbuih dan mi segera yang dimakannya sebelum itu turut terkeluar. Kami
cuba panggil nama dia beberapa kali tetapi dia tidak bergerak," katanya
kepada pemberita ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.
Sementara itu Pengetua SMA As Siddiqiah Al Islamiah, Mohd
Sidek Junus berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk
mendapatkan rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia ketika tiba di
sana.
Mangsa berasal dari Kampung Kuala Beris, Sik menuntut di
sekolah itu sejak tiga tahun lepas dalam pengajian tahfiz sejak berusia 15
tahun, katanya.
Beliau berkata Allahyarham seorang pelajar yang baik dan
aktif dan sepanjang tiga tahun arwah belajar di sekolah itu beliau tidak pernah
mengalami sebarang penyakit serius.
Ketua Polis Padang Terap Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku
Hamad ketika dihubungi berkata pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai
mati mengejut. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment