Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah
menyuarakan kemurkaan dan mengarahkan pengguna media sosial berhenti mengkritik
rancangan beliau untuk memperkenalkan undang-undang syariah di negara itu.
Hassanal, salah seorang individu terkaya dunia pada, Oktober
lalu mengumumkan bahawa Brunei akan melaksanakan undang-undang syariah seperti
sebatan, pemotongan anggota badan serta hukuman rejam sampai mati mulai 1 April
ini.
Tindakan cetus kritikan
Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada media sosial,
satu-satunya kaedah rungutan awam membabitkan pihak berkuasa negara itu dengan
tindakan mempersoalkan Sultan dielakkan.
Dalam titah ucapan hujung minggu lalu, Hassanal memberi
amaran keras kepada pengkritik beliau.
“Mereka tidak boleh dibenarkan melakukan penghinaan ini
tetapi jika ada elemen yang membolehkan mereka dibawa ke mahkamah, mereka akan
menjadi yang pertama merasai pelaksanaan Perintah Kanun Keseksaan Syariah pada
April,” katanya menurut salinan ucapan yang diterbitkan media kerajaan.
Beliau tidak memperincikan bagaimana pengguna media sosial
boleh didakwa di bawah undang-undang Islam itu. Sultan kekal sebagai individu
amat dihormati di negara 400,000 penduduk itu yang menikmati taraf hidup
tertinggi di Asia.
Bagaimanapun, beberapa minggu lalu perdebatan internet
berlaku membabitkan penyokong undang-undang berkenaan dan mereka yang amat
bimbangkan pelaksanaannya.
“Amat menakutkan untuk memikirkan kami mungkin direjam
dengan batu sehingga mati kerana menyintai atau didenda kerana meminati sesama
jantina dan pakaian kami turut dikawal,” kata satu kiriman internet.
Brunei mempunyai penggunaan dan kadar penembusan media
sosial terbesar dunia. Undang-undang syariah memperuntukkan hukuman mati kepada
zina, potong tangan kerana mencuri serta sebatan dalam kesalahan seperti
pengguguran, minum arak dan homoseks.
Negara itu melaksanakan ajaran Islam konservatif berbanding
jiran Islamnya, iaitu Malaysia dan Indonesia dengan mengharamkan jualan arak
dan mengehadkan agama lain.
Ia juga mempunyai dua sistem perundangan, iaitu mahkamah
sivil dan mahkamah syariah yang mengendalikan kes perkahwinan, pewarisan harta
dan banyak isu kecil lain. - AFP
Sumber : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment