KUALA LUMPUR: Pasukan Kelantan bermula dengan langkah
sumbang selepas kalah 3-5 kepada wakil Myanmar, Yangon United pada aksi
pembukaan kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium
Thuwunna, Yangon, hari ini.
Ketiadaan beberapa pemain import termasuk Mohamed Ghaddar
dan Mohamed Shawky yang dilanda kecederaan, nyata memberi kesan kepada skuad
'The Red Warriors' pada perlawanan berkenaan selepas pengendali mereka, Steve
Darby hanya menurunkan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan.
Kyaw Ko Ko muncul wira pasukan tuan rumah selepas meledak
jaringan hatrik pada minit ke-28, 52 dan 89 manakala dua lagi gol disumbangkan
penyerang dari Brazil, Emerson Reis Luiz pada minit kelapan dan 45, demikian
menurut laman web AFC;www.the-afc.com.
Tiga gol Kelantan dijaringkan oleh Wan Zaharulnizam Wan
Zakaria pada minit ke-47 dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit
ke-63 dan 94).
Terdahulu, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas
penyerang, Ahmad Shakir Mohd Ali dilayangkan kad merah oleh pengadil
perlawanan, Lee Min Hu dari Korea Selatan kerana melakukan kekasaran ke atas
pemain lawan.
Dalam satu lagi perlawanan, pasukan South China dari Hong
Kong gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-3
kepada kelab dari Vietnam, XM Vissai Ninh Binh di Stadium Hong Kong.
Pada aksi kedua kumpulan 12 Mac ini, Kelantan akan melayan
kunjungan South China di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu manakala XM
Vissai Ninh Binh berdepan Yangon United di Stadium Ninh Binh. - BERNAMA
Sumber : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment