"TERIMA kasih kerajaan," itu antara respons
seorang pelayar laman sosial Facebook selepas kadar bayaran tol di beberapa
lebuhraya diumum akan dinaikkan mulai Khamis ini.
Seorang pelayar lain pula menyifatkan ia sebagai satu
peluang yang baik untuk rakyat 'bersedekah' kepada kerajaan.
"Aku memang suka tol naik. Nak sedekah banyak-banyak
kat kerajaan," kata Haris berjenaka.
Tinjauan Sinar Online di laman sosial mendapati majoriti
netizen tidak berpuas hati selepas berita kenaikan kadar tol dilaporkan hari
ini.
"GST, tol, denda IC hilang RM1,000, nanti tambang
pengangkutan awam, tahun depan elektrik pula. Harga rumah yang tak masuk akal,
harga kereta yang tak turun seperti dijanjikan," luah Kamal di Facebook.
"Tiada usaha untuk meringankan beban rakyat langsung.
Semua berita yang menambahkan lagi beban rakyat," kata Shahril di laman
sosial sama.
Di laman mikro Twitter, majoriti pelayar juga meluahkan rasa
marah dan kecewa terhadap berita tersebut.
"Nampaknya kos perjalanan pergi balik aku dari rumah ke
UIA akan bertambah lagi seringgit sebab tol Duke naik," kata St-Pierre.
"Harga tol naik lagi, darah aku pun dah naik jugak
ni," kata Ain.
Seorang pengguna twitter, Rosniza mengutarakan persoalan
yang menarik.
"Tol naik harga ni dapat kurangkan (trafik) jamm
ke?" tulisnya.
Sumber :http://www.sinarharian.com.my